Wednesday, March 26, 2008

SEPINTAS LALU PRU 12

Assalamualaikum dan salam perjuangan,
Mungkin ramai yang masih bercerita tentang pahit manis kenangan sewaktu PRU 12 tempoh hari. Bagi sebelah pihak yang dihempas atau menimbulkan Tsunami politik ini pasti ada susur galur penceritaan masing-masing yang boleh kita ambil teladan daripadanya. Pelbagai analisa mungkin juga telah kita hadamkan sepanjang hampir 3 minggu PRU berlalu.

Bagi pihak ABIM, sejauh mana peranan yang kita ingin mainkan itu yang lebih utama. Baik di pihak BN atau di pihak PR (Pakatan Rakyat), kita sama-sama harus berperanan agar kita dilihat sebagai satu pihak yang memegang teraju dakwah dan tarbiyah dan kekal sebagai sebuah gerakan yang relevan di negara kita ini.

Kita perlu melihat dalam kerangka yang lebih besar sekarang. Kalau dahulu mungkin kita kata yang aktiviti atau gerakan kita terbatas, tersekat, tersangkut dan sebagainya, maka kini dalam suasana yang mungkin lebih terbuka baik di pihak BN atau PR, suara kita sebagai generasi yang bukan sahaja sebagai pendesak malah mungkin kita perlu lebih menonjolkan diri selaku pemain utama gelanggang dakwah sebagai penyatu Ummah.

Cukup ramai juga sahabat kita bertanding dalam PRU ini baik di pihak BN atau PR. Sebagai contoh, sahabat kita YB Fairus Khairuddin, telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Dalam suasana keterbukaan ini, kita akan pasti berdepan dengan arus tekanan yang lebih kuat. Islam selaku agama rasmi negara ini kini benar-benar akan dilihat dengan lebih dekat oleh semua pihak.

Islam yang dulu mungkin disalahertikan oleh sesetengah, kini berpeluang untuk ditonjolkan dengan meluas di gelanggang terbuka. Trend pengundian yang berlaku menunjukkan kini tiada lagi batasan kaum dan agama yang sekian lama menjadi teras politik negara. Rakyat telah memilih untuk bukan sahaja melihat calon yang berwibawa malah pentadbiran yang lebih telus diharapkan daripada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih. Semoga diberikan kekuatan pada sahabat kita yang memilih laluan politik dalam meneruskan usaha dakwah ini.

Kini tiba masa kita bekerja turun ke gelanggang. Bersama-sama kita tegakkan Islam yang mulia ini mengambil semangat perjuangan Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah kenal erti lelah dalam mensyariatkan Islam di bumi Allah ini.

Wassalam.

Wassalam.