Wednesday, December 16, 2009

APABILA NAFSU MENGUASAI DIRI

Maafkan jika sesiapa tersinggung bila saya bercakap tentang hal seorang ahli sukan ini. Saya tahu ramai peminat bagi seorang makhluk Allah ini di seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga di Malaysia. Ramai peminatnya, berduyun-duyun. Pernah sekali beliau bertandang ke negara kita. Sesak nafas dibuat bagi mereka yang tak lepas peluang menonton aksinya. Bukan sedikit duit dihabiskan sekadar untuk melihat kelibatnya. Duit dari poket peminatlah, penontonlah malah penganjur lebih lagi. Yuran kemunculannya sahaja kadang2 mencecah berjuta Dolar. Itu baru muncul belum menang lagi. Bila dah menang masuklah pula berjuta-juta dolar.
Beliau diiktiraf selaku ahli sukan pertama yang mencecah pendapatan Laksawan (Billionaire). Ini termasuklah penajaan daripada syarikat gergasi dunia yang mempromosi barangan serta perkhidmatan mereka dengan meletakkan beliau selaku jurucakap, model dan sebagainya. Banyak sunguh syarikat antaranya Nike (Pengeluar Barangan sukan), Gatorade (minuman), Gillette (selalu kita lihat iklannya bersama Roger Federer dan Thierry Henry), Accenture (Perunding dan Kewangan), Tag Heuer (Jam terkemuka) dan pelbagai lagi jenama. Mereka menggambarkan kehebatan barangan dan perkhidmatan mereka setaraf dengan lagenda sukan ini. Malah kerajaan negara beliau merancang baru-baru ini untuk memberikan beliau pingat kebesaran tertinggi bagi orang awam bagi menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan beliau di seluruh dunia.
Tetapi tidak semena-mena, seluruh dunia gempar. Mulanya hanya sekadar kemalangan kecil berlaku. Tapi rupanya terdapat kisah yang sangat besar di sebaliknya. Terdapat skandal seks yang membarah menunggu untuk pecah dan pekungnya kini terhidu seluruh dunia. Ya.. itu lah dia jagoan dunia TIGER WOODS. Siapa sangka, beliau yang dua minggu sebelum itu dalam satu temuramah TV bercerita tentang nilai dan kasih sayang sebuah keluarga rupanya mempunyai perempuan simpanan. Eh silap...perempuan-perempuan simpanan. Setakat ini yang diketahui seramai 14 orang perempuan yang mengakui telah bersama dengannya sama ada secara sekali lalu atau sebagai kekasih gelapnya.
Inilah padahnya...bila nafsu menguasai diri. Nilai dan moral ditolak ke tepi. Beliau kini terpaksa mengundur diri daripada sukan golf dalam jangka waktu yang tidak diketahui. Ada penaja yang mula mengundurkan diri. Rakan hilang ke mana lalu menyendiri... Itulah sebabnya dalam Islam, soal moral, akhlak, adab dan ketaatan kepada ALLAH menjadi nilaian utama kita. Moga kita dijauhkan daripada sifat keji ini.
Wallahua'lam.