Wednesday, January 27, 2010

ISU PROVOKASI...2 MASJID JADI SASARAN

Saya dengan sedih, geram dan marah pergi bersama 2 sahabat saya dalam Majlis Belia WP iaitu Sdri Presiden, Ida Harlina dan Sdri Norhaiza melawat Masjid Imam At Tirmizi, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama petang semalam selepas paginya menerima berita terdapat dua kepala babi hutan yang dilemparkan ke perkarangan masjid tersebut. Sebuah lagi masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Perkara yang sama juga dilakukan.
Apa motif serangan tersebut? Saya tidak mahu menuduh tapi tanggapan saya mungkin juga sama dengan sebahagian besar masyarakat negara kita. Ini ialah provokasi yang sengaja cuba ditimbulkan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini. Mungkin secara kebetulan ataupun tidak tindakan ini dilakukan susulan isu kalimah Allah yang masih tidak selesai. Hingga kini 11 gereja, 2 surau dan kini 2 masjid jadi sasaran. Cukuplah..harap rakyat Malaysia tidak akan melatah.
Umat Islam pula memang berhak marah dek kerja provokasi ini. Umat Islam hendaklah bersabar dan jangan emosi dalam menghadapi sesuatu isu seperti ini. Isu ini amat sensitif. Kita juga tidak berhak untuk menuduh sesiapa melakukannya. Kita berharap agar pihak polis dapat menubuhkan satu pasukan khas menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Pastikan mereka yang cuba untuk mengganggu gugat keselamatan negara ini dibicara dan dihukum dengan setimpal.

Sunday, January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.
ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.
Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.
Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.
" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia