Wednesday, August 25, 2010

RAMADHAN AL MUBARAK

Sedar tak sedar Ramadhan 1431 hijrah ini telah separuh berlalu. 10 malam yang pertama yang digelar waktu rahmah sudahkah kita ambil kesempatannya? Jumpakah kita dengan rahmahnya? Atau kita sibuk mengatur satu persatu Ramadhan buffet yang ada? Berjumpa lagikah kita dengan Ramadhan akan datang?
Kita kini berada dalam fasa kedua, fasa pengampunan daripada Allah. Minta ampunkah kita? Cukupkah doa dan tahajud keampunan yang kita usaha. Kita yang sentiasa lalai ini, adakah masa terluang kita benar-benar kita manfaatkan untuk cuba mencari keredhaanNYA. Sempurnakah amal ibadah kita? Jangan yang sunat sahaja kita terkejar-kejar tapi yang wajib kita pandang ringan. Jangan ketinggalan, masih ada masa untuk kita mengejar keampunan ALLAH ini.
Fasa ketiga. Apa ya? Persiapan menyambut raya? Bukan...ALLAH hendak menjauhkan kita daripada api neraka. Sudah tentu kita hendak bukan? Ditambah pula dengan janji malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Tapi janganlah kita berkata hendak tapi amalan jauh sekali. Sudahlah siangnya kadang2 puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, malam pula kita hiasi dengan bermewah2 serba serbi dengan hidangan hingga kita lalai mengejar pahala yang dihamparkan oleh ALLAH.
Bukan sedikit daripada kita yang dalam fasa ketiga jatuh ke dalam golongan yang saya sebut tadi. Persiapan menyambut raya diutamakan malah dimewahkan. Sebut sahaja apa yang tak ada. Saya dengar seorang artis tu apa ye...Baju raya tempahan 30 pasang ....hmmmm, langsir, sofa yang terbaru dengan corak dan rekaan terkini. Itu belum rumah yang dicat baru penuh bercahaya bagai hendak bergolok gadai gamaknya. Memanglah kalau mampu apa salahnya...tapi hingga lupa tentang sifat sederhana dan membantu orang yang tidak upaya rasanya hendaklah dijauhkan.
Moga...masa yang ada ini kita tumpukan pada ibadat kepada ALLAH. Moga dengan amalan yang sedikit dapat kita istiqamahkan dan ALLAH bangkitkan dengan para nabi, sahabat dan salfus soleh di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Tuesday, March 2, 2010

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah

KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan. "Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.
Komen:
Entahlah. Saya rasa tak salah kalau orang ramai nak bercakap pasal hal ini. Ini soala masyarakat. Masyarakat timur yang berteraskan Islam. Yang mula pudar soal keislamannya. Soal moral, akhlak, aqidah yang bercampur baur dengan soal ketidakpedulian masyarakat, isu sosial, maksiat dan segala-galanya. Sukar untuk kita pinggirkan kisah ini. Kisah yang moga menjadi teladan buat semua dan lantas menerobos fikiran kita lalu bertanya...ke arah manakah masyarakat kita ini nak pergi...?

Wednesday, January 27, 2010

ISU PROVOKASI...2 MASJID JADI SASARAN

Saya dengan sedih, geram dan marah pergi bersama 2 sahabat saya dalam Majlis Belia WP iaitu Sdri Presiden, Ida Harlina dan Sdri Norhaiza melawat Masjid Imam At Tirmizi, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama petang semalam selepas paginya menerima berita terdapat dua kepala babi hutan yang dilemparkan ke perkarangan masjid tersebut. Sebuah lagi masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Perkara yang sama juga dilakukan.
Apa motif serangan tersebut? Saya tidak mahu menuduh tapi tanggapan saya mungkin juga sama dengan sebahagian besar masyarakat negara kita. Ini ialah provokasi yang sengaja cuba ditimbulkan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini. Mungkin secara kebetulan ataupun tidak tindakan ini dilakukan susulan isu kalimah Allah yang masih tidak selesai. Hingga kini 11 gereja, 2 surau dan kini 2 masjid jadi sasaran. Cukuplah..harap rakyat Malaysia tidak akan melatah.
Umat Islam pula memang berhak marah dek kerja provokasi ini. Umat Islam hendaklah bersabar dan jangan emosi dalam menghadapi sesuatu isu seperti ini. Isu ini amat sensitif. Kita juga tidak berhak untuk menuduh sesiapa melakukannya. Kita berharap agar pihak polis dapat menubuhkan satu pasukan khas menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Pastikan mereka yang cuba untuk mengganggu gugat keselamatan negara ini dibicara dan dihukum dengan setimpal.

Sunday, January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.
ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.
Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.
Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.
" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia