Monday, August 31, 2009

Isu Bantahan Pembinaan Kuil Sek. 23, Shah Alam: ABIM Nasihatkan Masyarakat Islam Supaya Berhemah Dalam Berbantah & Jaga Keharmonian Agama Di Malaysia


Siaran Media ABIM


29 Ogos 2009 : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya berhemah dalam menyuarakan ketidakpuasan hati di dalam apa juga persoalan, terutama yang membabitkan isu-isu agama. Ini bagi memastikan supaya segala tindak-tanduk di dalam berbantah tidak menyumbang kepada terpudarnya imej agama Islam yang amat menekankan rukun hidup yang aman dan harmoni di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.


Di dalam hubungan ini, sebarang tindakan yang boleh ditanggap dan ditafsirkan sebagai menghina simbol-simbol kesucian agama lain hendaklah dijauhi. Ini kerana, ia boleh mengundang reaksi yang buruk terhadap keharmonian beragama dan menajamkan lagi sikap prejudis di antara penganut agama. Prinsip akhlak dan adab Islam di dalam menangani pertikaian berkaitan persoalan melibatkan agama hendaklah dihayati oleh masyarakat Islam di negara ini. Ini sejajar dengan Firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengentahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu mereka kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.


Sehubungan dengan itu, ABIM amat sedih dan memandang berat tindakan Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 yang membawa kepala lembu yang telah disembelih semasa majlis bantahan. Ini kerana, tindakan ini boleh ditanggap dan disalahtafsir oleh penganut agama Hindu sebagai satu tindakan menghina agama mereka oleh masyarakat Islam. Umat Islam juga dinasihatkan supaya merujuk ahli agama yang arif di dalam membuat apa juga bentuk tindakan yang secara langsung membabitkan agama lain. Ini bagi memastikan kesucian agama Islam dan kehormatan Ummah sentiasa terpelihara.


ABIM turut menggesa agar umat Islam di Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor untuk percepatkan perbincangan berhubung dengan isu ini supaya ia tidak berlarutan dan boleh mengundang salah faham yang berterusan. Amalan dan budaya dialog hendaklah diamalkan sehingga ke tahap tertinggi di dalam menangani isu ini. ABIM percaya dan yakin masih terdapat ruang untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam suasana yang lebih kondusif dan bukannya dalam situasi tegang yang dikhuatiri mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama. Inilah perkara terakhir yang kita perlukan buat masa ini.


Dalam konteks ini, ABIM menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berwajib agar mempertimbangkan secara serius tuntutan penduduk setempat Seksyen 23 dengan mengkaji semula cadangan untuk menempatkan kuil di situ. Hakikat bahawa kawasan tersebut dihuni oleh majoriti penduduk beragama Islam dan ia telah mencarik sensitiviti mereka tidak harus dipandang ringan oleh pihak berwajib.

MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Wednesday, August 26, 2009

Isu Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM

PETALING JAYA: Keputusan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang telah ditangguhkan pelaksanaannya, telah mengundang pelbagai pendapat berhubung isu tersebut.

Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, perkara tersebut tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. "Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

"ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan. Namun demikian, sehingga kini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor semalam dari Ipoh, Perak bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saatsaat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Fadhlina berkata, mahkamah hanya menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad.

"Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat yang digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya.

"Malah, kaedah dan pelaksaaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang," katanya.

Justeru, beliau berkata ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika serta menghentikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di sesebuah negeri. "Maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Tegasnya, hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sahaja (dalam kes Mahkamah Syariah) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak. "Justeru ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan daripada luar negara.

"Yang jelas, Kartika Sari telah mengakui kesilapannya, beliau juga telah membuat pengakuan (iqrar) yang cukup kuat dan merupakan bukti yang kukuh bagi pensabitan kes di bawah undang-undang keterangan Islam, malah telah diberikan ruang untuk merayu dalam tempoh tertentu. Beliau memilih untuk menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati,"katanya.

Katanya, prinsip Kartika Sari dan keluarganya yang nyata sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati. "Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan mahkamah dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

"ABIM menyeru agar hukuman ke atas Kartika Sari ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam yang masih mengkonsumsi arak dan menghentikan segera amalan buruk tersebut,"katanya.

sumber daripada mStar Online.

Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

ASSALAMUALAIKUM,


  • Ramadhan datang lagi. Menginjak Ramadhan yang baru, pasti mengimbau kenangan Ramadhan yang lalu. Yang paling jelas kita rasakan ialah insan yang pergi meninggalkan kita. Mereka pergi tanpa sempat merasai kembali nikmat Ramadhan. Bagi saya pemergian tiga tahun berturut-turut amat dirasai apabila Paklang, kemudiannya Abah tersayang, dan tahun ini Kakak pula meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Allah lebih menyanyangi mereka. Moga roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh.
  • Ramadhan datang lagi. Amatlah malang jika kita yang masih dipanjangkan umur dan dikurniakan kesempatan oleh Allah tidak cuba untuk meraih rahmat dan keampunan daripada Allah dalam kesempatan Ramadhan ini. Jika kita mahu, sepenuh jadual Ramadhan ini kita ikuti, maka ia akan menjadi medan tarbiyah yang terbaik buat kita sebagai hamba dan insan yang lemah ini.\
  • Ramadhan datang lagi. Tarbiyah Ramadhan mengajak kita untuk menghisab, menelusuri, menginsafi erti hidup kita. Masih ingatkah kita kenapa kita dijadikan? Masih setiakah jiwa kita untuk bersaksi yang kita ini dipilih oleh Rabbul Jalil sebagai Khalifah di muka bumi ini. Masih ingatkah peranan kita yang mahu sedaya upaya menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Tarbiyah ramadhan adalah pemugar semangat fisabilillah ini.
  • Ramadhan datang lagi. Allah telah aturkan dengan bijaksana. Bukan sahaja dengan merehatkan tubuh badan kita dari segala macam nikmat makanan dan minuman yang melampau, meningkatkan kekuatan fizikal dan penumpuan kita, secara dasarnya kita diperingatkan dengan menguatkan roh dan jiwa untuk mendepani cabaran di dunia ini moga berjaya kemudiannya mendapat maghfirah Allah di akhirat kelak.
  • Ramadhan datang lagi. Sungguh bertuah kita. Allah telah menjanjikan segala macam pahala berlipat kali ganda. Diturunkan mukjizat Al Quran di dalamnya untuk kita baca dan hayatinya. Setiap ibadah kita digandakan sekian banyaknya. Tidak cukup dengan itu dikurniakan pula Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang semua makhluk sujud mengharapkan redha Ilahi. Alangkah baiknya kalau malam itu kepunyaan kita.
  • Ramadhan datang lagi. Doaku moga Ramadhan ini akan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga amal ini menjadi amalan yang dibawa ke akhirat kelak. Moga Allah mempertemukan lagi Ramadhan buat kita. Tapi jika tidak..jadikan amalan Ramadhan ini amalan terbaik yang boleh kita bawa. Selamat beribadah dan menghayati semangat Ramadhan.

Wednesday, August 19, 2009

257 kes baru H1N1

19/08/2009 3:23pm

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Seramai 257 pesakit disahkan positif Influenza A (H1N1) dan tiada kematian akibat jangktan wabak itu dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Beliau berkata daripada 257 kes baru itu, 36 kes di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 21 kes mempunyai faktor risiko seperti diabetes, penyakit kronik, asma, hamil dan bersalin, obesiti, kanak-kanak istimewa dan bayi.


“Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan Influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dr Mohd Ismail turut meminta mereka yang mempunyai simptom penyakit itu supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli belah dan mengelak daripada menaiki kenderaan awam.


“Mereka yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu, sesiapa yang ada simptom ini mesti berada di rumah, jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tidak bersimptom lagi,” katanya. Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300.

- BERNAMA
*** Banyaknya jangkitan satu dalam masa satu hari. Nampaknya budaya mementingkan diri sendiri masih menular dalam masyarakat kita. Jika kita mempunyai simptom ini, kuarantinkan diri sendiri. Ini bagi mengelakkan jangkitan terhadap masyarakat di sekeliling kita.

Wednesday, August 12, 2009

H1N1 - SATU PANDANGAN

Assalamualaikum,
  • Masih saya ingat sewaktu bulan mei akhbar menyiarkan tentang jangkitan virus H1N1 ini di muka hadapan. Waktu itu penularan hanya membabitkan kes import dan tiada langsung kes tempatan. Tetapi setakat pandangan ini saya tulis, telah ada 44 kematian di negara kita akibat virus ini. Rakyat kebanyakan mulai cemas malah ada yang mula panik. Salah siapa? Tidak guna menuding jari. Salah kita semua.
  • Saya berpendapat rakyat kita ini mengambil mudah tentang virus ini. Dalam sains virus amat kompleks sifatnya. Ia boleh bermutasi dengan cepat. Ia boleh saja menjadi H1N2 atau H2N1 atau lain2. Dengan iklim persekitaran kita yang panas lembap ini, penularan H1N1 boleh berlaku dengan mudah. Cuma dengan sentuhan tangan, batuk dan bersin ia boleh merebak. Di pihak kita, mungkin sebab kita memandang remeh atas setiap simptom yang berlaku menyebabkan ada yang menyalahanggap ia sebagai hanya demam biasa.
  • Di peringkat doktor perubatan pula apa yang kita harapkan ialah supaya pengesanan penyakit ini dapat dibuat secepat mungkin. Dalam sesetengah kes kematian yang kita lihat, pesakit telahpun pergi menemui doktor berulang kali dalam jangka waktu yang lama dan telah diberikan beberapa jenis ubat, tetapi akhirnya gagal dan pesakit menemui ajalnya. Bagi pesakit diabetes, kencing manis, darah tinggi, asma atau yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, pastikan tahap penyakit anda dipantau dengan sempurna bagi mengurangkan komplikasi jangkitan ini.
  • Di pihak kementerian kesihatan dan ajensi berkaitan pula, saya amat berharap agar pihak berkaitan menjalankan kempen secara berterusan ke peringkat akar umbi. Sekolah dan pusat2 pengajian dinasihatkan memakai topeng pelindung agar wabak penularan ini terkawal. Keputusan penutupan sesebuah institusi perlulah sentiasa dipantau dengan tepat dan segera.
  • Kuarantin diri juga perlulah diamalkan oleh setiap individu. Jika anda mengalami simptom batuk, selsema dan sebagainya, kuarantinkan diri anda daripada masyarakat. Anda perlu tahu, jika simptom anda itu bukannya H1n1pun, tetapi kerana waktu itu imuniti tubuh anda agak lemah, anda akan agak mudah dijangkiti oleh H1N1. Mungkin mufti boleh bagi pandangan/fatwa jika anda mempunyai simptom ini jangan ke solat jumaat.
  • Sebagai umat Islam pula, kita dinasihatkan melakukan solat hajat agar dijauhi daripada wabak ini. Doa penghindar wabak / bala banyak yang telah dikirimkan oleh kawan2 sebelum ini. Terakhir sekali bagi pengamal herba dan ubatan alami saya juga menyarankan pengambilan Minyak Kelapa Dara sebagai makanan harian dan bagi pengidap H1N1 ini atas sifatnya yang Anti - Virus.
Sekian Wassalam.

Wednesday, August 5, 2009

ABIM gesa kerajaan percepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA.

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan tindakan bagi proses penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku kelmarin dapat dielakkan dari berterusan.

Antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan menyertainya.
Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan protes-protes yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat ini sebagaimana yang terjadi kelmarin kerana ia merupakan manifestasi bantahan terhadap perlaksanaan ISA yang dilihat telah banyak melanggar batas-batas hak asasi warganegara dari kerangka perlembagaan.

Sehubungan dengan itu juga, ABIM ingin meminta pihak keselamatan membebaskan mereka yang ditahan pada perhimpunan kelmarin dengan kadar yang segera. ABIM juga ingin meminta orang ramai supaya memberi peluang dan masa kepada pihak kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang telah membuat kenyataan rasmi untuk membuat kajian semula terhadap akta ini, menyempurnakan janjinya. Ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terbanyak hendaklah dipelihara oleh semua pihak.

ABIM ingin terus mempertegaskan sikapnya pada sebelum ini iaitu ISA hendaklah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan prinsip hak kemanusian dari perspektif agama Islam. Oleh itu, ISA hendaklah diganti dengan satu undang-undang baru yang lebih adil sejajar dengan tuntutan agama dan perlembagaan Malaysia.
‘Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan’

MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)