Tuesday, March 2, 2010

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah

KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan. "Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.
Komen:
Entahlah. Saya rasa tak salah kalau orang ramai nak bercakap pasal hal ini. Ini soala masyarakat. Masyarakat timur yang berteraskan Islam. Yang mula pudar soal keislamannya. Soal moral, akhlak, aqidah yang bercampur baur dengan soal ketidakpedulian masyarakat, isu sosial, maksiat dan segala-galanya. Sukar untuk kita pinggirkan kisah ini. Kisah yang moga menjadi teladan buat semua dan lantas menerobos fikiran kita lalu bertanya...ke arah manakah masyarakat kita ini nak pergi...?