Wednesday, September 12, 2007

Mempelajari Prinsip Hidup Tokoh Islam Terkaya Di Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar (Bhgn 1) -


L/belakang Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Umur - 53 tahun- Pendidikan - SPM- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)- Kekayaan -RM1,425 juta- Ke 7 terkaya di Malaysia- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat- Kereta - Proton Perdana

Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.Bagaimana sumbangan sosialnya bermula bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

Resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 Tahun Kemerdekaan"

Resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 Tahun Kemerdekaan" 5 Syaaban 1428/18 Ogos 2007 bertempat di Dewan Seri Bestari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur.

Seminar Islam dan Cabaran Semasa yang bertemakan "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 tahun Kemerdekaan" telah berlangsung dengan baik dan telah menunjukkan keprihatinan para peserta, yang terdiri daripada para aktivis, tokoh pendidikan, perundangan dan golongan profesional dalam berperanserta membangun bangsa dan negara.

Hasil daripada perbincangan kertas-kertas kerja yang dibentangkan oleh para cendekiawan, ulama dan ahli-ahli profesional, para peserta seminar sebulat suara menegaskan kesepakatan- kesepakatan berikut:

1. Berdasarkan fakta sejarah, Islam tidak dapat dipisahkan daripada identiti Melayu. Ia adalah identiti utama bangsa Melayu. Oleh itu bangsa Melayu perlu memperkasakan identiti keIslamannya agar tidak hanyut dalam arus globalisasi.

2. Memperakukan hakikat sejarah bahawa Islam telah bertapak secara formal di Malaysia seawal kurun ke-12 Masihi dengan kewujudan kerajaan Islam pertama di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah di Kedah. Kedudukan istimewa Islam dalam sistem bernegara telah terpelihara dalam perjanjian-perjanji an yang melibatkan Raja-Raja Melayu dan penjajah Inggeris, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan. Melihat kedudukan Islam hanya dalam kerangka Laporan Suruhanjaya Reid, sepertimana yang sedang dilakukan oleh sekelompok sekularis liberal di negara ini, adalah satu bentuk penafian fakta sejarah.

3. Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan dan ditafsirkan demi melindungi kepentingan umat Islam. Ini jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 121 (1A) yang memperkukuhkan bidangkuasa Mahkamah Syariah, Perkara 11(4) yang membenarkan undang-undang negeri menyekat penyebaran dakyah agama bukan Islam di kalangan umat Islam dan Enakmen-Enakmen Negeri yang bertujuan membendung gejala murtad dan penyelewengan 'aqîdah.

4. Menggesa negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan agar segera meluluskan undang-undang yang menghalang penyebaran dakyah agama bukan Islam di kalangan umat Islam di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

5. Menolak andaian kelompok sekularis liberal di negara ini kononnya Malaysia adalah sebuah negara sekular. Berbeza dengan Perlembagaan India, tidak ada satu perkataan pun dalam Perlembagaan Persekutuan yang membayangkan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Sebaliknya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi peruntukan-peruntuk an yang jelas mengenai kedudukan istimewa Islam dalam sistem kenegaraan seperti Islam sebagai Agama Persekutuan [Perkara 3 (1)], Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam [Perkara 3(2)], Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang Islam [Perkara 8(5), 11(4), 121A, Jadual Kesembilan] dan jaminan kelangsungan undang-undang Islam dan adat istiadat Melayu hatta ketika darurat [150(6A)].

6. Kebebasan beragama adalah kebebasan untuk-beragama dan bukan dari-agama. Ia tidak harus ditafsirkan melalui kerangka pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama. Melalui perspektif ini setiap penganut agama berhak mempraktikkan ajaran agama masing-masing tanpa menyentuh sensitiviti dalam agama lain.

7. Mempertegaskan bahawa hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tidak harus ditafsir untuk membenarkan amalan murtad di kalangan umat Islam dan mengatakan bahawa undang-undang Islam yang dilaksanakan di negara ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Dalam hubungan ini Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007) telah memberikan tafsiran yang jelas dan tepat tentang hak kebebasan beragama bagi orang-orang Islam di bawah Perkara 11. Beliau menyebut: "To profess and practise the religion of Islam would certainly mean professing the theological aspects of that religion as well as the law of that religion ." Ini bermaksud, undang-undang dan teologi Islam adalah terpakai dalam kes murtad (Lihat juga Kamariah bte Ali v Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia [2002] 3 AMR 3512).

8. Peningkatan gejala sosial, murtad dan jenayah di negara ini berkait rapat dengan cara hidup, budaya dan pemikiran liberal-sekular yang merebak di kalangan generasi muda. Oleh itu tiba saatnya penghayatan terhadap agama dan nilai-nilai murni diperkukuhkan demi melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan bijaksana.

9. Proses Islamisasi yang telah berlangsung sekitar 7 abad lamanya di alam Melayu perlu diteruskan dan disegarkan demi kebaikan masa depan umat Islam. Proses Islamisasi di Malaysia harus dilihat sebagai satu pendekatan kearah membangunkan umat Islam; menjamin hak-hak masyarakat bukan Islam; dan mewujudkan sebuah kerajaan yang baik.

10. Mempertahankan kedudukan istimewa Islam dan hak-hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Keghairahan sesetengah pihak untuk merealisasikan "Bangsa Malaysia" tidak seharusnya mengabaikan terma-terma penting "Kontrak Sosial" yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin kaum di ambang kemerdekaan.

11. Perpaduan dan keharmonian tidak akan tercapai jika aspirasi majoriti rakyat diabaikan. Oleh itu golongan minoriti perlu menghormati kontrak sosial masyarakat negara ini.

12. Setelah 50 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pengisian kemerdekaan perlu dilakukan dengan lebih mantap dan saksama. Apa yang penting adalah sebanyak mungkin usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memastikan minda dan jiwa masyarakat juga merdeka.

Demikian resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa pada kali ini. Kami berharap ia dapat dijadikan bahan renungan dan pertimbangan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Kuala Lumpur
18 Ogos 2007.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum,

Sedar tak sedar Ramadhan menjelma lagi. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur kita lagi untuk bersama merasai nikmat bulan yang penuh berkah ini. Isilah ia dengan solat2 yang wajib dan sunat, tahajud, tasbih, tarawih dan hidupkanlah siang dan malamnya dengan membaca dan memahami kitab suci Al-Quran.

Bagi para Da'ie bulan inilah mari kita mantapkan kembali landasan perjuangan kita yang berteraskan aqidah, syari'ah dan akhlak ini. Kita minta diberi kekuatan untuk menyantuni dan menyelusuri pahit getir perjuangan ini dengan penuh ketaqwaan dan tawadhuk kepada ALLAH SWT yang Maha Esa.

Ketika semua pintu rahmat dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT ini, kesempatan inilah jua patut kita ambil untuk terus berdakwah di jalan yang kita pilih ini. Sedarlah jasa yang cuba kita taburkan dalam masyarakat ini, walaupun mungkin hanya sekilas pandangan mata, moga diterima oleh Allah SWT ketika menghadap di hadapanNYA kelak. Insya-Allah.

Amin Ya Rabbal A'Alamin.

**Jemputlah setiap ahli di peringkat ABIM Daerah ke Majlis Iftar Ramadhan ABIM Wilayah dan SERI Al-Huda pada 20 September 2007 (8 Ramadhan 1428), Khamis, di SERI Al-Huda, Gombak. Lapangkan masa anda sekalian pada tarikh tersebut. Moga kehadiran anda akan mengeratkan ukhwah serta memeriahkan majlis.