Wednesday, September 12, 2007

Resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 Tahun Kemerdekaan"

Resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 Tahun Kemerdekaan" 5 Syaaban 1428/18 Ogos 2007 bertempat di Dewan Seri Bestari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur.

Seminar Islam dan Cabaran Semasa yang bertemakan "Analisis Kedudukan Islam di Malaysia Pasca 50 tahun Kemerdekaan" telah berlangsung dengan baik dan telah menunjukkan keprihatinan para peserta, yang terdiri daripada para aktivis, tokoh pendidikan, perundangan dan golongan profesional dalam berperanserta membangun bangsa dan negara.

Hasil daripada perbincangan kertas-kertas kerja yang dibentangkan oleh para cendekiawan, ulama dan ahli-ahli profesional, para peserta seminar sebulat suara menegaskan kesepakatan- kesepakatan berikut:

1. Berdasarkan fakta sejarah, Islam tidak dapat dipisahkan daripada identiti Melayu. Ia adalah identiti utama bangsa Melayu. Oleh itu bangsa Melayu perlu memperkasakan identiti keIslamannya agar tidak hanyut dalam arus globalisasi.

2. Memperakukan hakikat sejarah bahawa Islam telah bertapak secara formal di Malaysia seawal kurun ke-12 Masihi dengan kewujudan kerajaan Islam pertama di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah di Kedah. Kedudukan istimewa Islam dalam sistem bernegara telah terpelihara dalam perjanjian-perjanji an yang melibatkan Raja-Raja Melayu dan penjajah Inggeris, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan. Melihat kedudukan Islam hanya dalam kerangka Laporan Suruhanjaya Reid, sepertimana yang sedang dilakukan oleh sekelompok sekularis liberal di negara ini, adalah satu bentuk penafian fakta sejarah.

3. Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan dan ditafsirkan demi melindungi kepentingan umat Islam. Ini jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 121 (1A) yang memperkukuhkan bidangkuasa Mahkamah Syariah, Perkara 11(4) yang membenarkan undang-undang negeri menyekat penyebaran dakyah agama bukan Islam di kalangan umat Islam dan Enakmen-Enakmen Negeri yang bertujuan membendung gejala murtad dan penyelewengan 'aqîdah.

4. Menggesa negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan agar segera meluluskan undang-undang yang menghalang penyebaran dakyah agama bukan Islam di kalangan umat Islam di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

5. Menolak andaian kelompok sekularis liberal di negara ini kononnya Malaysia adalah sebuah negara sekular. Berbeza dengan Perlembagaan India, tidak ada satu perkataan pun dalam Perlembagaan Persekutuan yang membayangkan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Sebaliknya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi peruntukan-peruntuk an yang jelas mengenai kedudukan istimewa Islam dalam sistem kenegaraan seperti Islam sebagai Agama Persekutuan [Perkara 3 (1)], Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam [Perkara 3(2)], Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang Islam [Perkara 8(5), 11(4), 121A, Jadual Kesembilan] dan jaminan kelangsungan undang-undang Islam dan adat istiadat Melayu hatta ketika darurat [150(6A)].

6. Kebebasan beragama adalah kebebasan untuk-beragama dan bukan dari-agama. Ia tidak harus ditafsirkan melalui kerangka pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama. Melalui perspektif ini setiap penganut agama berhak mempraktikkan ajaran agama masing-masing tanpa menyentuh sensitiviti dalam agama lain.

7. Mempertegaskan bahawa hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tidak harus ditafsir untuk membenarkan amalan murtad di kalangan umat Islam dan mengatakan bahawa undang-undang Islam yang dilaksanakan di negara ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Dalam hubungan ini Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007) telah memberikan tafsiran yang jelas dan tepat tentang hak kebebasan beragama bagi orang-orang Islam di bawah Perkara 11. Beliau menyebut: "To profess and practise the religion of Islam would certainly mean professing the theological aspects of that religion as well as the law of that religion ." Ini bermaksud, undang-undang dan teologi Islam adalah terpakai dalam kes murtad (Lihat juga Kamariah bte Ali v Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia [2002] 3 AMR 3512).

8. Peningkatan gejala sosial, murtad dan jenayah di negara ini berkait rapat dengan cara hidup, budaya dan pemikiran liberal-sekular yang merebak di kalangan generasi muda. Oleh itu tiba saatnya penghayatan terhadap agama dan nilai-nilai murni diperkukuhkan demi melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan bijaksana.

9. Proses Islamisasi yang telah berlangsung sekitar 7 abad lamanya di alam Melayu perlu diteruskan dan disegarkan demi kebaikan masa depan umat Islam. Proses Islamisasi di Malaysia harus dilihat sebagai satu pendekatan kearah membangunkan umat Islam; menjamin hak-hak masyarakat bukan Islam; dan mewujudkan sebuah kerajaan yang baik.

10. Mempertahankan kedudukan istimewa Islam dan hak-hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Keghairahan sesetengah pihak untuk merealisasikan "Bangsa Malaysia" tidak seharusnya mengabaikan terma-terma penting "Kontrak Sosial" yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin kaum di ambang kemerdekaan.

11. Perpaduan dan keharmonian tidak akan tercapai jika aspirasi majoriti rakyat diabaikan. Oleh itu golongan minoriti perlu menghormati kontrak sosial masyarakat negara ini.

12. Setelah 50 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pengisian kemerdekaan perlu dilakukan dengan lebih mantap dan saksama. Apa yang penting adalah sebanyak mungkin usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memastikan minda dan jiwa masyarakat juga merdeka.

Demikian resolusi Seminar Islam dan Cabaran Semasa pada kali ini. Kami berharap ia dapat dijadikan bahan renungan dan pertimbangan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Kuala Lumpur
18 Ogos 2007.

No comments: