Wednesday, January 19, 2011

Maal Hijrah dan Tahun Baru

Assalamualaikum,

Tahun Baru Hijrah 1432H telah lebih sebulan berlalu. Tahun Baru Masehi juga sudah masuk minggu ketiga. Sekali imbas tahun ini saya yakin bakal menyaksikan pelbagai peristiwa yang pasti akan menyelubungi diri kita. Desas-desus Pilihanraya Umum ke-13 telah heboh dikatakan. Ini memang tidak mustahil kerana kalau kita melihat sejarah setiap Perdana Menteri baru akan pasti membuat PRU bagi mengesahkan atau mendapat mandat baru daripada rakyat. Kini PM kita yang ke-6 ini telah setahun lebih memerintah dan tempoh itu sudah dikatakan cukup lama. Adakah beliau yakin untuk membuat perhitungan baru dengan parti-parti pembangkang ketika ini?

Pilihanraya kecil di Tenang kini sedang rancak berlagsung. Sedikit teguran saya kepada DS Chua Soi Lek berkenaan isu calon PAS yang bersalaman dengan orang ramai menggunakan sarung tangan. Sepatutnya jika beliau diberikan nasihat oleh penasihat atau pengikut beliau yang berugama Islam, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Atau mungkinkah memang pengikutnya atau penasihat di keliling beliau juga tidak memahami asas ugama Islam berkenaan hal ini. Al-Quran dengan jelas telah menggariskan yang kita tidak boleh bersentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali muhrimnya.
Dengan hanya membuat perbandingan yang orang Islam itu bersalam, orang Islam ini pula tidak bersalam tidak sama sekali akan mengubah hukum yang telah diturunkan oleh Allah secara jelas dan terang di dalam Al-Quran. Mujurlah juga saya melihat selepas itu TPM mengingatkan yang isu ini jangan dipanjangkan. Semoga kerukunan semua kaum di Malaysia diperkukuhkan lagi dengan masing-masing cuba menyantuni perbezaan dan memahami perbezaan dan amalan agama yang lain. Kita sudah lebih 50 tahun merdeka, semoga kita lebih memahami dan menjiwai semangat pelbagai kaum di negara kita ini. Negaraku yang dicintai moga perpaduan antara rakyatnya semakin kukuh dan erat.

Wednesday, August 25, 2010

RAMADHAN AL MUBARAK

Sedar tak sedar Ramadhan 1431 hijrah ini telah separuh berlalu. 10 malam yang pertama yang digelar waktu rahmah sudahkah kita ambil kesempatannya? Jumpakah kita dengan rahmahnya? Atau kita sibuk mengatur satu persatu Ramadhan buffet yang ada? Berjumpa lagikah kita dengan Ramadhan akan datang?
Kita kini berada dalam fasa kedua, fasa pengampunan daripada Allah. Minta ampunkah kita? Cukupkah doa dan tahajud keampunan yang kita usaha. Kita yang sentiasa lalai ini, adakah masa terluang kita benar-benar kita manfaatkan untuk cuba mencari keredhaanNYA. Sempurnakah amal ibadah kita? Jangan yang sunat sahaja kita terkejar-kejar tapi yang wajib kita pandang ringan. Jangan ketinggalan, masih ada masa untuk kita mengejar keampunan ALLAH ini.
Fasa ketiga. Apa ya? Persiapan menyambut raya? Bukan...ALLAH hendak menjauhkan kita daripada api neraka. Sudah tentu kita hendak bukan? Ditambah pula dengan janji malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Tapi janganlah kita berkata hendak tapi amalan jauh sekali. Sudahlah siangnya kadang2 puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, malam pula kita hiasi dengan bermewah2 serba serbi dengan hidangan hingga kita lalai mengejar pahala yang dihamparkan oleh ALLAH.
Bukan sedikit daripada kita yang dalam fasa ketiga jatuh ke dalam golongan yang saya sebut tadi. Persiapan menyambut raya diutamakan malah dimewahkan. Sebut sahaja apa yang tak ada. Saya dengar seorang artis tu apa ye...Baju raya tempahan 30 pasang ....hmmmm, langsir, sofa yang terbaru dengan corak dan rekaan terkini. Itu belum rumah yang dicat baru penuh bercahaya bagai hendak bergolok gadai gamaknya. Memanglah kalau mampu apa salahnya...tapi hingga lupa tentang sifat sederhana dan membantu orang yang tidak upaya rasanya hendaklah dijauhkan.
Moga...masa yang ada ini kita tumpukan pada ibadat kepada ALLAH. Moga dengan amalan yang sedikit dapat kita istiqamahkan dan ALLAH bangkitkan dengan para nabi, sahabat dan salfus soleh di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Tuesday, March 2, 2010

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah

KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan. "Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.
Komen:
Entahlah. Saya rasa tak salah kalau orang ramai nak bercakap pasal hal ini. Ini soala masyarakat. Masyarakat timur yang berteraskan Islam. Yang mula pudar soal keislamannya. Soal moral, akhlak, aqidah yang bercampur baur dengan soal ketidakpedulian masyarakat, isu sosial, maksiat dan segala-galanya. Sukar untuk kita pinggirkan kisah ini. Kisah yang moga menjadi teladan buat semua dan lantas menerobos fikiran kita lalu bertanya...ke arah manakah masyarakat kita ini nak pergi...?

Wednesday, January 27, 2010

ISU PROVOKASI...2 MASJID JADI SASARAN

Saya dengan sedih, geram dan marah pergi bersama 2 sahabat saya dalam Majlis Belia WP iaitu Sdri Presiden, Ida Harlina dan Sdri Norhaiza melawat Masjid Imam At Tirmizi, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama petang semalam selepas paginya menerima berita terdapat dua kepala babi hutan yang dilemparkan ke perkarangan masjid tersebut. Sebuah lagi masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Perkara yang sama juga dilakukan.
Apa motif serangan tersebut? Saya tidak mahu menuduh tapi tanggapan saya mungkin juga sama dengan sebahagian besar masyarakat negara kita. Ini ialah provokasi yang sengaja cuba ditimbulkan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini. Mungkin secara kebetulan ataupun tidak tindakan ini dilakukan susulan isu kalimah Allah yang masih tidak selesai. Hingga kini 11 gereja, 2 surau dan kini 2 masjid jadi sasaran. Cukuplah..harap rakyat Malaysia tidak akan melatah.
Umat Islam pula memang berhak marah dek kerja provokasi ini. Umat Islam hendaklah bersabar dan jangan emosi dalam menghadapi sesuatu isu seperti ini. Isu ini amat sensitif. Kita juga tidak berhak untuk menuduh sesiapa melakukannya. Kita berharap agar pihak polis dapat menubuhkan satu pasukan khas menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Pastikan mereka yang cuba untuk mengganggu gugat keselamatan negara ini dibicara dan dihukum dengan setimpal.

Sunday, January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.
ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.
Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.
Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.
" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia

Wednesday, December 16, 2009

APABILA NAFSU MENGUASAI DIRI

Maafkan jika sesiapa tersinggung bila saya bercakap tentang hal seorang ahli sukan ini. Saya tahu ramai peminat bagi seorang makhluk Allah ini di seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga di Malaysia. Ramai peminatnya, berduyun-duyun. Pernah sekali beliau bertandang ke negara kita. Sesak nafas dibuat bagi mereka yang tak lepas peluang menonton aksinya. Bukan sedikit duit dihabiskan sekadar untuk melihat kelibatnya. Duit dari poket peminatlah, penontonlah malah penganjur lebih lagi. Yuran kemunculannya sahaja kadang2 mencecah berjuta Dolar. Itu baru muncul belum menang lagi. Bila dah menang masuklah pula berjuta-juta dolar.
Beliau diiktiraf selaku ahli sukan pertama yang mencecah pendapatan Laksawan (Billionaire). Ini termasuklah penajaan daripada syarikat gergasi dunia yang mempromosi barangan serta perkhidmatan mereka dengan meletakkan beliau selaku jurucakap, model dan sebagainya. Banyak sunguh syarikat antaranya Nike (Pengeluar Barangan sukan), Gatorade (minuman), Gillette (selalu kita lihat iklannya bersama Roger Federer dan Thierry Henry), Accenture (Perunding dan Kewangan), Tag Heuer (Jam terkemuka) dan pelbagai lagi jenama. Mereka menggambarkan kehebatan barangan dan perkhidmatan mereka setaraf dengan lagenda sukan ini. Malah kerajaan negara beliau merancang baru-baru ini untuk memberikan beliau pingat kebesaran tertinggi bagi orang awam bagi menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan beliau di seluruh dunia.
Tetapi tidak semena-mena, seluruh dunia gempar. Mulanya hanya sekadar kemalangan kecil berlaku. Tapi rupanya terdapat kisah yang sangat besar di sebaliknya. Terdapat skandal seks yang membarah menunggu untuk pecah dan pekungnya kini terhidu seluruh dunia. Ya.. itu lah dia jagoan dunia TIGER WOODS. Siapa sangka, beliau yang dua minggu sebelum itu dalam satu temuramah TV bercerita tentang nilai dan kasih sayang sebuah keluarga rupanya mempunyai perempuan simpanan. Eh silap...perempuan-perempuan simpanan. Setakat ini yang diketahui seramai 14 orang perempuan yang mengakui telah bersama dengannya sama ada secara sekali lalu atau sebagai kekasih gelapnya.
Inilah padahnya...bila nafsu menguasai diri. Nilai dan moral ditolak ke tepi. Beliau kini terpaksa mengundur diri daripada sukan golf dalam jangka waktu yang tidak diketahui. Ada penaja yang mula mengundurkan diri. Rakan hilang ke mana lalu menyendiri... Itulah sebabnya dalam Islam, soal moral, akhlak, adab dan ketaatan kepada ALLAH menjadi nilaian utama kita. Moga kita dijauhkan daripada sifat keji ini.
Wallahua'lam.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha Buat Semua,,,,,MAZA lagi

Terkejut juga dibuatnya apabila terdapat segelintir penonton dan panelis juga yang tertawa seperti memperlekeh wibawa imam-imam besar seperti Imam Syafie dalam rakaman Al Kuliyyah yang dirakam pada minggu lepas. Sungguh tak beradab mereka ini. Seolah-olah mereka menyamakan diri mereka setaraf malah lebih tinggi taraf daripada Imam-Imam besar ini.

Menilai suasana penolakan terhadap ahli sunnah wal jamaah oleh pengikut MAZA ini sambil tahu serba sedikit pengaruh kuasa di belakang beliau, saya sebenarnya tidak terkejut kalau rakaman yang sepatutnya disiarkan dalam slot Al-Kuliyyah ini akan dibatalkan. Malah, jika sekalipun ditayangkan akan disunting habis-habisan oleh tangan-tangan yang hipokrit ini. Sudahlah sepatutnya disiarkan secara langsung, saat- saat akhir ditiadakan terus.
Kerana apa? Kerana mereka yang menyokong MAZA ini sedar yang dari segi hujah, adab dan kupasan perbincangan pihak mereka kucar-kacir dan tidak mengikut dasar2 ilmu dan perbincangan ilmiah yang sepatutnya. Mereka pasti akan gah mengatakan kononnya merkalah yang benar dan akan menjadi mujtahid dan mujaddid baru buat semua ulat Islam. Nak buat apa lagi selepas ini? Hmmmm....diskusi dan ilmu perbincangan perlu dimakmurkan. Fahamkan lebih lagi tentang kefahaman Ahlussunnah Wal Jamaah.
Sambil itu.....Kita tunggu siarannya.....kalau ada.