Tuesday, March 13, 2012

Takziah Untuk Keluarga Adik Nurul Nadirah Abdullah

Astaghfirullah hal Adzim......Masih ada lagi kejadian seumpama ini yang terjadi. Entah di mana silapnya. Masyarakat pasti juga akan menuding kepada ibu bapanya. Kenapa dibiarkan anak sekecil itu, dibiarkan berseorangan ke kedai untuk membeli barangan. Tetapi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Malaysia masih rata-ratanya dikategorikan sebagai sebuah negara yang selamat. Benarkah begitu? Mungkin ya, mungkin tidak.


Ini sudah kes yang entah keberapa. Tahun 2004, kita dengar tentang kes Nurul Huda Abdul Ghani di Tanjung Kupang, Johor Bharu yang berumur 10 tahun, dirogol dan dibunuh sewaktu menaiki basikal ke kedai. 2004 juga kita terkejut dengan penemuan mayat adik Haserawati Saridi, 10 tahun di Menggatal, Sabah yang dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah. Pelaku-pelakuan kejadian kejam ini kemudiannya berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal dan masyarakat disaran lebih berwaspada menjaga ahli keluarga masing-masing.


Kemudiannya pada tahun 2007 adik Oii Ying Ying - anak kecil berumur 3 tahun dibunuh, dibakar dan abunya dibuang merata tempat di Pulau Pinang. Teman lelaki ibunya ditangkap kerana membunuh Ooi Ying Ying. Seperti tidak berhenti kemudiannya, Adik Nurin Jazlin, 8 tahun pula hilang dan akhirnya ditemui dalam keadaan yang menyayat hati. Mayatnya ditemui di dalam beg pakaian dan pembunuhnya masih dicari. Tahun 2008 pula kita kehilangan Adik Sharlinie Mohd Nashar, 5 tahun yang hilang berdekatan rumahnya. Adik Sharlinie masih tidak dijumpai sehingga kini.


Manusiakah yang berperilaku begini?

No comments: