Monday, May 30, 2011

PEMBUKAAN PINTU RAFAH: ABIM GESA GERAKKAN USAHA BANTU WARGA GAZA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik keputusan pemerintah Republik Arab Mesir untuk membuka semula pintu sempadan Rafah yang merupakan laluan utama yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar mulai 28 Mei yang lalu. Sesungguhnya keputusan ini secara langsung menggambarkan transformasi positif dalam politik Mesir pasca-Hosni Mubarak.



ABIM menilai keputusan ini sangat bertepatan dengan suara serta kehendak masyarakat antarabangsa yang mahu seluruh warga Gaza serta rakyat Palestin secara keseluruhannya diberikan pembelaan serta bantuan yang sewajarnya. Dalam hal ini, ABIM ingin menyeru kerajaan Malaysia terutama sekali Wisma Putra untuk mengambil langkah proaktif ekoran dari perkembangan positif yang sedang berlaku di Gaza pada ketika ini.



Justeru, keprihatinan berupa sokongan serta sumbangan dari rakyat Malaysia amat diharapkan untuk menjayakan agenda kemanusiaan ini. Sukacita dimaklumkan, ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) telah menggerakkan Tabung Kemanusiaan dan Pendidikan Palestin yang dilancarkan pada Malam Puisi Riong Gaza: Deritamu Palestin anjuran bersama dengan Berita Harian tahun Lalu. Kesemua sumbangan yang diterima akan disalurkan untuk membiayai projek pembangunan komuniti Gaza seperti kilang roti serta projek-projek pendidikan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun RHB Islamic (21401360010196)

Mohamad Raimi Ab Rahim,
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments: