Tuesday, March 13, 2012

Takziah Untuk Keluarga Adik Nurul Nadirah Abdullah

Astaghfirullah hal Adzim......Masih ada lagi kejadian seumpama ini yang terjadi. Entah di mana silapnya. Masyarakat pasti juga akan menuding kepada ibu bapanya. Kenapa dibiarkan anak sekecil itu, dibiarkan berseorangan ke kedai untuk membeli barangan. Tetapi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Malaysia masih rata-ratanya dikategorikan sebagai sebuah negara yang selamat. Benarkah begitu? Mungkin ya, mungkin tidak.


Ini sudah kes yang entah keberapa. Tahun 2004, kita dengar tentang kes Nurul Huda Abdul Ghani di Tanjung Kupang, Johor Bharu yang berumur 10 tahun, dirogol dan dibunuh sewaktu menaiki basikal ke kedai. 2004 juga kita terkejut dengan penemuan mayat adik Haserawati Saridi, 10 tahun di Menggatal, Sabah yang dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah. Pelaku-pelakuan kejadian kejam ini kemudiannya berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal dan masyarakat disaran lebih berwaspada menjaga ahli keluarga masing-masing.


Kemudiannya pada tahun 2007 adik Oii Ying Ying - anak kecil berumur 3 tahun dibunuh, dibakar dan abunya dibuang merata tempat di Pulau Pinang. Teman lelaki ibunya ditangkap kerana membunuh Ooi Ying Ying. Seperti tidak berhenti kemudiannya, Adik Nurin Jazlin, 8 tahun pula hilang dan akhirnya ditemui dalam keadaan yang menyayat hati. Mayatnya ditemui di dalam beg pakaian dan pembunuhnya masih dicari. Tahun 2008 pula kita kehilangan Adik Sharlinie Mohd Nashar, 5 tahun yang hilang berdekatan rumahnya. Adik Sharlinie masih tidak dijumpai sehingga kini.


Manusiakah yang berperilaku begini?

Monday, May 30, 2011

PEMBUKAAN PINTU RAFAH: ABIM GESA GERAKKAN USAHA BANTU WARGA GAZA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik keputusan pemerintah Republik Arab Mesir untuk membuka semula pintu sempadan Rafah yang merupakan laluan utama yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar mulai 28 Mei yang lalu. Sesungguhnya keputusan ini secara langsung menggambarkan transformasi positif dalam politik Mesir pasca-Hosni Mubarak.



ABIM menilai keputusan ini sangat bertepatan dengan suara serta kehendak masyarakat antarabangsa yang mahu seluruh warga Gaza serta rakyat Palestin secara keseluruhannya diberikan pembelaan serta bantuan yang sewajarnya. Dalam hal ini, ABIM ingin menyeru kerajaan Malaysia terutama sekali Wisma Putra untuk mengambil langkah proaktif ekoran dari perkembangan positif yang sedang berlaku di Gaza pada ketika ini.



Justeru, keprihatinan berupa sokongan serta sumbangan dari rakyat Malaysia amat diharapkan untuk menjayakan agenda kemanusiaan ini. Sukacita dimaklumkan, ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) telah menggerakkan Tabung Kemanusiaan dan Pendidikan Palestin yang dilancarkan pada Malam Puisi Riong Gaza: Deritamu Palestin anjuran bersama dengan Berita Harian tahun Lalu. Kesemua sumbangan yang diterima akan disalurkan untuk membiayai projek pembangunan komuniti Gaza seperti kilang roti serta projek-projek pendidikan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun RHB Islamic (21401360010196)

Mohamad Raimi Ab Rahim,
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sunday, May 15, 2011

Dr Wahbah Az-Zuhaily: Sangat wajar Anwar mengadu terus ke hadrat Allah

- oleh Ismail Hashim



SHAH ALAM, 14 Mei: Peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam. AJK Majlis Fatwa Antarabangsa, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili berkata, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.


"Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral," tegasnya. Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri, dekat sini, hari ini. Ucapan beliau telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Dr Wahbah juga menyatakan Al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.



Tegasnya. jika penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik. Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya. "Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya," tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.


Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar Ibrahim, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas. Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden. Malah, ujarnya, Majma' Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.



Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya. "Umat Islam hendaklah mengambil Syariat Islam dalam menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka," tegasnya.

Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah SWT datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.

Beliau dalam lawatan ke negara ini selama empat hari berakhir esok.

"Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke Hadrat Allah SWT dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh temeh ini," tegasnya pada program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dr Wahbah mempunyai penglibatan dan sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam. Beliau yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

Karya Dr Wahbah menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab TafsirAl-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.

Wednesday, January 19, 2011

Maal Hijrah dan Tahun Baru

Assalamualaikum,

Tahun Baru Hijrah 1432H telah lebih sebulan berlalu. Tahun Baru Masehi juga sudah masuk minggu ketiga. Sekali imbas tahun ini saya yakin bakal menyaksikan pelbagai peristiwa yang pasti akan menyelubungi diri kita. Desas-desus Pilihanraya Umum ke-13 telah heboh dikatakan. Ini memang tidak mustahil kerana kalau kita melihat sejarah setiap Perdana Menteri baru akan pasti membuat PRU bagi mengesahkan atau mendapat mandat baru daripada rakyat. Kini PM kita yang ke-6 ini telah setahun lebih memerintah dan tempoh itu sudah dikatakan cukup lama. Adakah beliau yakin untuk membuat perhitungan baru dengan parti-parti pembangkang ketika ini?

Pilihanraya kecil di Tenang kini sedang rancak berlagsung. Sedikit teguran saya kepada DS Chua Soi Lek berkenaan isu calon PAS yang bersalaman dengan orang ramai menggunakan sarung tangan. Sepatutnya jika beliau diberikan nasihat oleh penasihat atau pengikut beliau yang berugama Islam, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Atau mungkinkah memang pengikutnya atau penasihat di keliling beliau juga tidak memahami asas ugama Islam berkenaan hal ini. Al-Quran dengan jelas telah menggariskan yang kita tidak boleh bersentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali muhrimnya.
Dengan hanya membuat perbandingan yang orang Islam itu bersalam, orang Islam ini pula tidak bersalam tidak sama sekali akan mengubah hukum yang telah diturunkan oleh Allah secara jelas dan terang di dalam Al-Quran. Mujurlah juga saya melihat selepas itu TPM mengingatkan yang isu ini jangan dipanjangkan. Semoga kerukunan semua kaum di Malaysia diperkukuhkan lagi dengan masing-masing cuba menyantuni perbezaan dan memahami perbezaan dan amalan agama yang lain. Kita sudah lebih 50 tahun merdeka, semoga kita lebih memahami dan menjiwai semangat pelbagai kaum di negara kita ini. Negaraku yang dicintai moga perpaduan antara rakyatnya semakin kukuh dan erat.

Wednesday, August 25, 2010

RAMADHAN AL MUBARAK

Sedar tak sedar Ramadhan 1431 hijrah ini telah separuh berlalu. 10 malam yang pertama yang digelar waktu rahmah sudahkah kita ambil kesempatannya? Jumpakah kita dengan rahmahnya? Atau kita sibuk mengatur satu persatu Ramadhan buffet yang ada? Berjumpa lagikah kita dengan Ramadhan akan datang?
Kita kini berada dalam fasa kedua, fasa pengampunan daripada Allah. Minta ampunkah kita? Cukupkah doa dan tahajud keampunan yang kita usaha. Kita yang sentiasa lalai ini, adakah masa terluang kita benar-benar kita manfaatkan untuk cuba mencari keredhaanNYA. Sempurnakah amal ibadah kita? Jangan yang sunat sahaja kita terkejar-kejar tapi yang wajib kita pandang ringan. Jangan ketinggalan, masih ada masa untuk kita mengejar keampunan ALLAH ini.
Fasa ketiga. Apa ya? Persiapan menyambut raya? Bukan...ALLAH hendak menjauhkan kita daripada api neraka. Sudah tentu kita hendak bukan? Ditambah pula dengan janji malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Tapi janganlah kita berkata hendak tapi amalan jauh sekali. Sudahlah siangnya kadang2 puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, malam pula kita hiasi dengan bermewah2 serba serbi dengan hidangan hingga kita lalai mengejar pahala yang dihamparkan oleh ALLAH.
Bukan sedikit daripada kita yang dalam fasa ketiga jatuh ke dalam golongan yang saya sebut tadi. Persiapan menyambut raya diutamakan malah dimewahkan. Sebut sahaja apa yang tak ada. Saya dengar seorang artis tu apa ye...Baju raya tempahan 30 pasang ....hmmmm, langsir, sofa yang terbaru dengan corak dan rekaan terkini. Itu belum rumah yang dicat baru penuh bercahaya bagai hendak bergolok gadai gamaknya. Memanglah kalau mampu apa salahnya...tapi hingga lupa tentang sifat sederhana dan membantu orang yang tidak upaya rasanya hendaklah dijauhkan.
Moga...masa yang ada ini kita tumpukan pada ibadat kepada ALLAH. Moga dengan amalan yang sedikit dapat kita istiqamahkan dan ALLAH bangkitkan dengan para nabi, sahabat dan salfus soleh di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Tuesday, March 2, 2010

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah

KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan. "Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.
Komen:
Entahlah. Saya rasa tak salah kalau orang ramai nak bercakap pasal hal ini. Ini soala masyarakat. Masyarakat timur yang berteraskan Islam. Yang mula pudar soal keislamannya. Soal moral, akhlak, aqidah yang bercampur baur dengan soal ketidakpedulian masyarakat, isu sosial, maksiat dan segala-galanya. Sukar untuk kita pinggirkan kisah ini. Kisah yang moga menjadi teladan buat semua dan lantas menerobos fikiran kita lalu bertanya...ke arah manakah masyarakat kita ini nak pergi...?

Wednesday, January 27, 2010

ISU PROVOKASI...2 MASJID JADI SASARAN

Saya dengan sedih, geram dan marah pergi bersama 2 sahabat saya dalam Majlis Belia WP iaitu Sdri Presiden, Ida Harlina dan Sdri Norhaiza melawat Masjid Imam At Tirmizi, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama petang semalam selepas paginya menerima berita terdapat dua kepala babi hutan yang dilemparkan ke perkarangan masjid tersebut. Sebuah lagi masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Perkara yang sama juga dilakukan.
Apa motif serangan tersebut? Saya tidak mahu menuduh tapi tanggapan saya mungkin juga sama dengan sebahagian besar masyarakat negara kita. Ini ialah provokasi yang sengaja cuba ditimbulkan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini. Mungkin secara kebetulan ataupun tidak tindakan ini dilakukan susulan isu kalimah Allah yang masih tidak selesai. Hingga kini 11 gereja, 2 surau dan kini 2 masjid jadi sasaran. Cukuplah..harap rakyat Malaysia tidak akan melatah.
Umat Islam pula memang berhak marah dek kerja provokasi ini. Umat Islam hendaklah bersabar dan jangan emosi dalam menghadapi sesuatu isu seperti ini. Isu ini amat sensitif. Kita juga tidak berhak untuk menuduh sesiapa melakukannya. Kita berharap agar pihak polis dapat menubuhkan satu pasukan khas menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Pastikan mereka yang cuba untuk mengganggu gugat keselamatan negara ini dibicara dan dihukum dengan setimpal.