Friday, July 25, 2008

Hujankah, Ributkah atau Taufan?

Assalaamualaikum,

Politik

Kalut makin kalut. Setelah hampir sebulan kes Liwatgate II ini berlangsung tanda-tanda ia akan surut semakin jauh. Terbaru, blogger RPK pula menyatakan ada seorang kawan pihak yang menuduh mengaku telah bersama yang menuduh ke rumah seorang pemimpin tertinggi negara khusus membincangkan perkara2 yang perlu untuk dilakukan dan direka dalam kes liwat ini. Entahlah.. kalau benar begini agaknya, konspirasi ini memanglah untuk menghalang seseorang menjadi pemimpin tertinggi negara.

Kita memerhati juga muzakarah yang sedang rancak diadakan oleh sebuah parti pemerintah dengan salah satu parti utama pembangkang. Kita memang mengalu-alukan sebarang bentuk muzakarah atau perbincangan yang boleh menambahbaik kesejahteraan hidup umat Islam dan melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya. Cuma janganlah hendaknya bermuzakarah bersetuju di sebelah sini tapi bergaduh dan berbalah jadinya di sebelah sana. Agaknya bila nak habis Tsunami politik ini dan ombak-ombak susulannya.

Ekonomi

Ini pun kalut juga. Setelah Debat Bersejarah tempoh hari, memang benar telahan rakyat kebanyakan yang Menteri Penerangan tak akan letak jawatan. Tapi yang makin membimbangkan EPU telah menurunkan kadar peningkatan ekonomi negara kepada 4.6% dari yang dijangka sebelum ini iaitu 5.5%. Malah besar kemungkinan kadar inflasi negara akan meningkat ke tahap 7% dalam dua tiga bulan akan datang. Nampaknya kenalah kita tingkatkan tahap usaha kita untuk memastikan ekonomi umat sentiasa terbela dan meningkat.

Muktamar

Macam2 cakap dan pelbagai perkara yang berlaku ini, kenalah juga kita ke Muktamar Kebangsaan ABIM PUSAT yang tahun ini akan berlangsung di Pusat dakwah Paroi, Negeri Sembilan pada 15 - 17 Ogos 2008 ini. Tajuk Memperkasa Umat yang dipilih kali ini sangat cocok dengan segala perkembangan mutakhir yang sedang berlaku di sekitar kita. Muktamar yang membuka ruang muhasabah, diskusi dan mengolah semula perjalanan dakwah kita di muka bumi ini. Hadirlah beramai-ramai. Insya-Allah moga diterima amalan dakwah kita ini di akhirat kelak.

Zaihan Mahamud
Kajang 7.00 am
26 Julai 2008

Thursday, July 3, 2008

KE MANA ARAH NEGARA KITA?

Saya terkejut, terkilan dan bermacam ter.......lagi dua tiga hari ini. Selain akibat produk jualan saya yang tak tiba-tiba dari luar negara, menyebabkan poket ter......asa kosong, ter......saya ini banyak didominasi oleh perkhabaran politik tanah air. Walaupun ya....ABIM ialah non-partisan, namun apabila kes aib-mengaib, tuduh-menuduh, sumpah-bersumpah sudah menjadi mainan ahli politik kita ini, fikirkan ke manakah arah negara kita?
Walaupun memang ramai yang beranggapan tuduhan kedua liwat kepada Dato' Seri Anwar adalah satu lagi cubaan untuk menghalang percubaannya menjadi PM, malah Merdeka Center sebuah pusat pungutan pendapat juga menyatakan hanya 6% rakyat yang percaya atas tuduhan ini, kita tidak mahu perkara ini menjadi satu bahan mainan ahli politik kita saban masa.
Kalau kita lihat satu-persatu ia bermula dengan Akuan Bersumpah Raja Petra (RPK) yang menyatakan isteri pemimpin negara terlibat dalam pembunuhan Altantuya, kemudiannya tuduhan liwat terhadap Anwar yang dibuat bekas pembantunya, disusuli dengan drama Anwar di Kedutaan Turki cukup menggugah hati dan suasana.
Tapi kejutan rupanya belum berakhir....sebentar tadi muncul pula PI P Balasundram yang menjadi pengawal peribadi A Razak Baginda dengan akuan bersumpahnya yang cukup menggemparkan. Kaitan antara Altantuya dan juga pembesar negara. Hmmmm.....benarkah atau tidak semua episod ini. Episod ini dan selepasnya akan terus berlaku dan terus berlaku semenjak keputusan PRU 12 tempoh hari. Apa lagi yang akan berlaku......mungkin makin mengejutkan. Mengggemparkan malah mungkin juga semakin memualkan. Nauzubillah....
Panjatkan doa kepada ALLAH agar Malaysia terus terpelihara di bawah RahmahNYA.

Tuesday, July 1, 2008

EPISOD TERBARU ANWAR - KENYATAAN ABIM

Abim seru umat Islam adakan solat hajat


Dipetik dari Malaysiakini
Selasa, 01 Julai 2008

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) berkongsi rasa terkejut, sedih dan bimbang dengan rakyat Malaysia berikutan timbulnya isu terbaru yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presidennya, Yusri Mohamad.
"Negara kita telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks, melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini."Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin mengheret negara ke kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, Abim berharap semua pihak yang terlibat menangani isu ini, benar-benar mengambil pengajaran dari episod gelap krisis yang lalu, untuk bersiap menanganinya dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah."Isu terbaru ini merupakan ujian dari Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini.
"Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan istirja', istighfar, solat dan bermunajat kepadanya."Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaran-Nya dalam menangani persoalan yang timbul," kata Yusri.Jangan jadi 'hakim'Sesuai dengan semangat tersebut, katanya, Abim menganjurkan seluruh Umat Islam di Malaysia segera menumpukan permohonan kehadrat Allah "agar kita semua dikurniakan rahmat, panduan dan kekuatan untuk melalui ujian terbaru ini dengan selamat dan sejahtera".
Abim juga, kataya, mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini."Seterusnya Abim berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan dalam Islam."Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil," katanya.
Menurut Yusri lagi, pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat, dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam.Pihak terbabit juga, tambahnya, perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Anwar sepertimana yang layak diterima olehnya."Pihak media juga diingatkan agar mengelak daripada menjadi 'hakim' yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan.
"Oleh kerana kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar, justeru pihak media juga haruslah mengelak membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan," tambahnya.