Tuesday, August 5, 2008

SIARAN MEDIA

5 Ogos 2008 / 3 Sya’ban 1429H

Menyokong Pandangan Ketua Pengarah JAKIM Terhadap Forum Berkenaan Perkara 121 (1A) Anjuran Majlis Peguam Malaysia

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, mengenai forum terbuka mengenai Perkara 121 (1A) anjuran Majlis Peguam Malaysia, ABIM turut merasakan penganjuran forum tersebut adalah kurang bersesuaian dan boleh menimbulkan salah tanggapan di kalangan masyarakat. Walaupun ABIM mendokong prinsip kebebasan bersuara dan demokrasi tetapi dalam realiti negara kita, persoalan yang boleh membangkitkan sentimen agama dan kaum harus ditangani dengan lebih berhati-hati dan berhikmah.

ABIM konsisten dengan pandangan bahawa persoalan sebegitu terutama yang melibatkan bidang pengkhususan lebih sesuai dibincangkan secara tertutup dikalangan mereka yang mempunyai latarbelakang dalam bidang berkaitan. Majlis Peguam Malaysia baru sahaja menganjurkan forum terbuka berkaitan dengan isu “kontrak sosial” dan disusuli pula dengan isu berkaitan dengan agama. Pendekatan sebegini boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap Majlis Peguam Malaysia sebagai badan utama mewakili seluruh komuniti peguam tanpa mengira kaum dan agama, yang sepatutnya tidak wajar dilihat terlalu memihak dalam isu-isu seumpama ini.


KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
SETIAUSAHA AGUNG ABIM

No comments: