Monday, September 22, 2008

ABIM SAMBUT BAIK CADANGAN PERKENAL AKTA HUBUNGAN KAUM

SIARAN MEDIA
20 SEPTEMBER 2008 / 20 RAMADAN 1429

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Hubungan Kaum di negara ini. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, adalah amat wajar sekali satu akta yang bertujuan untuk menggalakkan keharmonian kaum dan memupuk perpaduan nasional diperkenalkan.

ABIM berpandangan bahawa Akta yang bakal diperkenalkan perlulah berlandaskan prinsip-prinsip hubungan kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada. Ini termasuklah dengan mengambil kira peruntukan-peruntuk an Perlembagaan seperti Perkara 3 yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan; Perkara 153 mengenai hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain; Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 11(1) mengenai hak kebebasan beragama; dan Perkara 11(4) mengenai kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Akta ini juga harus selaras dengan peruntukan-peruntuk an dalam Akta Hasutan yang mencegah perbuatan menghasut termasuklah mempersoalkan hal-hal yang berkait dengan kedudukan istimewa kaum Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, Bahasa Kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak-hak kerakyatan.

Oleh kerana masalah hubungan kaum di negara ini banyak berkait rapat dengan isu agama, ABIM juga berharap agar Akta yang dicadangkan turut memberi fokus kepada langkah-langkah untuk menghindari konflik antara agama. Ini termasuklah mencegah perbuatan menghina sesuatu agama dan penyebaran agama bukan Islam di kalangan masyarakat Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun ABIM percaya bahawa tindakan kawalan secara bertanggungjawab oleh pihak berwajib merupakan satu langkah positif dalam mengekalkan keharmonian kaum dan agama di negara ini, ABIM berharap agar Akta ini tidak akan menafikan hak setiap warganegara untuk berbincang dan berdialog secara positif tentang isu-isu hubungan kaum dan agama. Hak-hak kebebasan asasi sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan hendaklah dipelihara.

”Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”

YUSRI MOHAMAD
PRESIDEN
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA

No comments: