Monday, January 5, 2009

Hijrah dan Palestine

Assalamualaikum,

Berturut-turut cuti dan diselang seli kegembiraan dan kehibaan. Setelah penat ke sana sini dari Johor hingga ke utara tanah air meraikan pengantin baru - adik ipar kahwin, cuti yang berpanjangan dari Krismas, membawa ke Maal Hijrah dan kemudiannya Tahun Baru 2009 begitu memakan waktu dan kudrat. Sibuk pula kemudiannya mengurus persekolahan anak dengan bajunya dan semua kelengkapan.

Ahlan Wa Sahlan. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 buat semua. Masuk tanggal 1 Muharram, saya menyambut hari jadi hijrah yang ke 37 kali ini. Semoga tahun yang akan datang ini akan lebih baik dari tahun sebelumnya. Juga buat 2009 yang menjengah setelah setahun 2008 kita lalui. Pahit maung yang dilalui moga mendewasakan kita. Sudah tentu tahun lepas 2008 sedikit menyedihkan buat kami sekeluarga atas pemergian ayahanda tercinta. Moga rohnya dicucuri rahmat-Al Fatihah.

Tetapi 1430 dan 2009 ini menjenguk dengan penuh kehibaan. Tebing Gaza di Palestin dihujani besar2an dengan segala macam senjata oleh Yahudi Laknatullah - Israel. Amerika sekadar mengangguk tersenyum di belakang mereka sambil ditambah rencahnya oleh Britain. Setakat masa tulisan ini sudah lebih 500 orang saudara kita terkorban dek keganasan nafsu rakus Israel.

Umat Islam di seluruh dunia termasuk kita tentunya membuat pelbagai protes demonstrasi, boikot dan segala macam usaha yang terdaya. Namun sudah tentu tidak diendah oleh Israel yang tahu Amerika tetap menyokongnya. Entahlah kalau Obama nanti tidak begitu. Malis Keselamatan PBB juga bagai satu patung tidak bernyawa. Malah rayuan Setiausaha Agung PBB, Ban Kim Moon agar gencatan senjata dilaksanakan hanya bagai bayu berlalu pergi.

Mengapa ini berlaku? Mengapa umat Islam dipandang sepi. Kerana kita tak punya kekuatan. Di Palestin sendiri contohnya, perbalahan yang berpanjangan antara Hamas dan Fatah sudah berlanjutan sekian lama. Kemenangan Hamas dalam pilihanraya tidak diiktiraf oleh kuasa besar dunia kerana dikatakan mereka kumpulan pengganas. Wakil dunia Arab membisu. Mesir tidak membantu. Syria, Jordan juga membatu. OIC tiada dalam kamus untuk menyatukan semua. Malah luahan negara kita, Malaysia juga dipandang sepi.
Kita tak punyai kekuatan. Selaku individu, umat dan negara. Mereka memperlekehkan umat Islam sewenang-wenangnya. Kita hanya mampu berdoa agar serangan ini berhenti segera. Ya...mungkin hanya itu yang kita mampu. Ketika ini............
Kajang 7.55 pm
8 Muharram 1430

No comments: