Monday, July 20, 2009

APA DAH JADI SPRM?

Assalaamualaikum,

Sukar untuk tidak menulis tentang peristiwa kematian Teoh Beng Hock, pembantu seorang Exco negeri Selangor minggu lepas. Kematian beliau yang penuh misteri dilaporkan berlaku selepas beliau dilepaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah diambil keterangan siasatan penyelewengan wang kerajaan negeri. Ini bukan sebuah kes politik. Sesiapa sahajapun boleh dipanggil memberi keterangan. Mengapa perkara ini harus terjadi?

Mengapa misteri? Misteri kerana agak sukar dipercayai maklumat awal yang mengatakan beliau membunuh diri. Agak sukar diterima telahan itu kerana beliau yang baru sahaja berusia 30 tahun, menurut keluarganya tidak mempunyai masalah besar, telah berkahwin dan hendak mendaftarkan perkahwinannya pada hari itu, isterinya pula mengandung dua bulan dan seorang yang sentiasa ceria dan mudah didampingi tiba2 hendak membunuh diri.

Tapi kenapa sampai tiba2 ada yang terbunuh. Menurut SPRM, mendiang telah dibenarkan pulang sekitar jam 3.45 pagi. Tetapi telah memilih untuk terus berada di situ dan dilihat oleh beberapa orang sekitar jam 6 pagi tidur di sofa SPRM. Banyak persoalan yang timbul ketika ini. Mengapa mendiang tidak terus pulang? Keretanya berada di tempat letak kereta di tingkat bawah. Apa yang terjadi antara jam 3.45 pagi hingga 1.30 tengah hari apabila mayatnya ditemui?

Banyak sungguh soalan yang tidak terjawab. Sungguhpun pihak polis berjanji akan menyiasat kes ini dengan setelusnya, pasti akan ada pihak yang tidak akan berpuas hati dengan hasil siasatan ini. Kini banyak pihak yang meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja agar siasatan nanti boleh dilakukan dengan lebih telus.

Saya secara peribadi menyokong agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini ditubuhkan. Ini bagi mengelakkan segala tohmahan dan kecaman orang ramai tentang hasil siasatan ini nanti. Adakah akan terjawab segala persoalan? Mengapa perkara ini terjadi? Banyak sungguh soalan yang perlu ditanggung. Lebih hiba lagi di pihak keluarga mendiang. Kehilangan satu nyawa muda yang begitu berharga. Takziah kita ucapkan.


No comments: