Wednesday, December 16, 2009

APABILA NAFSU MENGUASAI DIRI

Maafkan jika sesiapa tersinggung bila saya bercakap tentang hal seorang ahli sukan ini. Saya tahu ramai peminat bagi seorang makhluk Allah ini di seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga di Malaysia. Ramai peminatnya, berduyun-duyun. Pernah sekali beliau bertandang ke negara kita. Sesak nafas dibuat bagi mereka yang tak lepas peluang menonton aksinya. Bukan sedikit duit dihabiskan sekadar untuk melihat kelibatnya. Duit dari poket peminatlah, penontonlah malah penganjur lebih lagi. Yuran kemunculannya sahaja kadang2 mencecah berjuta Dolar. Itu baru muncul belum menang lagi. Bila dah menang masuklah pula berjuta-juta dolar.
Beliau diiktiraf selaku ahli sukan pertama yang mencecah pendapatan Laksawan (Billionaire). Ini termasuklah penajaan daripada syarikat gergasi dunia yang mempromosi barangan serta perkhidmatan mereka dengan meletakkan beliau selaku jurucakap, model dan sebagainya. Banyak sunguh syarikat antaranya Nike (Pengeluar Barangan sukan), Gatorade (minuman), Gillette (selalu kita lihat iklannya bersama Roger Federer dan Thierry Henry), Accenture (Perunding dan Kewangan), Tag Heuer (Jam terkemuka) dan pelbagai lagi jenama. Mereka menggambarkan kehebatan barangan dan perkhidmatan mereka setaraf dengan lagenda sukan ini. Malah kerajaan negara beliau merancang baru-baru ini untuk memberikan beliau pingat kebesaran tertinggi bagi orang awam bagi menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan beliau di seluruh dunia.
Tetapi tidak semena-mena, seluruh dunia gempar. Mulanya hanya sekadar kemalangan kecil berlaku. Tapi rupanya terdapat kisah yang sangat besar di sebaliknya. Terdapat skandal seks yang membarah menunggu untuk pecah dan pekungnya kini terhidu seluruh dunia. Ya.. itu lah dia jagoan dunia TIGER WOODS. Siapa sangka, beliau yang dua minggu sebelum itu dalam satu temuramah TV bercerita tentang nilai dan kasih sayang sebuah keluarga rupanya mempunyai perempuan simpanan. Eh silap...perempuan-perempuan simpanan. Setakat ini yang diketahui seramai 14 orang perempuan yang mengakui telah bersama dengannya sama ada secara sekali lalu atau sebagai kekasih gelapnya.
Inilah padahnya...bila nafsu menguasai diri. Nilai dan moral ditolak ke tepi. Beliau kini terpaksa mengundur diri daripada sukan golf dalam jangka waktu yang tidak diketahui. Ada penaja yang mula mengundurkan diri. Rakan hilang ke mana lalu menyendiri... Itulah sebabnya dalam Islam, soal moral, akhlak, adab dan ketaatan kepada ALLAH menjadi nilaian utama kita. Moga kita dijauhkan daripada sifat keji ini.
Wallahua'lam.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha Buat Semua,,,,,MAZA lagi

Terkejut juga dibuatnya apabila terdapat segelintir penonton dan panelis juga yang tertawa seperti memperlekeh wibawa imam-imam besar seperti Imam Syafie dalam rakaman Al Kuliyyah yang dirakam pada minggu lepas. Sungguh tak beradab mereka ini. Seolah-olah mereka menyamakan diri mereka setaraf malah lebih tinggi taraf daripada Imam-Imam besar ini.

Menilai suasana penolakan terhadap ahli sunnah wal jamaah oleh pengikut MAZA ini sambil tahu serba sedikit pengaruh kuasa di belakang beliau, saya sebenarnya tidak terkejut kalau rakaman yang sepatutnya disiarkan dalam slot Al-Kuliyyah ini akan dibatalkan. Malah, jika sekalipun ditayangkan akan disunting habis-habisan oleh tangan-tangan yang hipokrit ini. Sudahlah sepatutnya disiarkan secara langsung, saat- saat akhir ditiadakan terus.
Kerana apa? Kerana mereka yang menyokong MAZA ini sedar yang dari segi hujah, adab dan kupasan perbincangan pihak mereka kucar-kacir dan tidak mengikut dasar2 ilmu dan perbincangan ilmiah yang sepatutnya. Mereka pasti akan gah mengatakan kononnya merkalah yang benar dan akan menjadi mujtahid dan mujaddid baru buat semua ulat Islam. Nak buat apa lagi selepas ini? Hmmmm....diskusi dan ilmu perbincangan perlu dimakmurkan. Fahamkan lebih lagi tentang kefahaman Ahlussunnah Wal Jamaah.
Sambil itu.....Kita tunggu siarannya.....kalau ada.

Monday, November 2, 2009

Penangkapan Dr MAZA

Akibat episod penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin ini, saya amat terkejut dan kesal. Saya yakin sebenarnya ia boleh ditangani dengan lebih berhemah. Beliau seorang bekas Mufti dan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan. Sungguhpun jika sekiranya beliau tidak mempunyai tauliah untuk mengajar di negeri Selangor, kita difahamkan yang beliau memberi ceramah di sebuah rumah persendirian. Adakah JAIS dan pihak polis boleh atau berhak melakukan tangkapan tersebut.
Saya juga difahamkan terdapat 10 buah kereta polis yang mengiringi petugas JAIS ketika itu. Untuk apa? Provokasi sebegitu memburukkan lagi suasana. Jika benar ia adalah aduan daripada jiran-jiran kerana kesesakan dan tiada permit, bukankah polis sepatutnya bertindak menyuraikan majlis sahaja. Lebih malang lagi, selepas diminta Dr Maza untuk hadir di Mahkamah Syariah Gombak keesokan paginya, JAIS gagal mengemukakan pertuduhan segera terhadap Dr Maza setelah kekecohan akibat penangkapan malam sebelumnya.
Timbul persoalan. Bukankah JAIS di bawah kuasa kerajaan negeri yang sekarang diterajui Pakatan Rakyat? Jadi sepatutnya pendekatan yang lebih berhati-hati perlu dilakukan. Siapakah yang memberi arahan? Adakah tangan-tangan ghaib yang mencampuri urusan JAIS ini? Banyak sungguh khabar angin dan cerita-cerita di sebaliknya. Timbul pula kisah YADIM di sebaliknya. Akibat penolakan Dr MAZA menjadi YDPnya dan isu audit akaun YADIM. Macam2 hal pulak.
Justeru itu, saya nasihatkan mana2 pihak yang telah menimbulkan kekalutan ini, terutamanya pihak JAIS mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjernihkan suasana. Sudahlah umat Islam di negara kita ini sudah berpecah belah akibat pahaman politik masing2, tindakan sebegini ini boleh memburukkan lagi suasana yang sudah sememangnya buruk. Segeralah bertindak...
Zaihan Mahamud
YDP Abim WP

Wednesday, October 21, 2009

Teoh Beng Hock dipukul dan dicekik sebelum jatuh

Berita Gempar!!!!!!

Teoh Beng Hock dipukul dan dicekik sebelum jatuh

Sumber dari Harakahdaily
Wed Oct 21, 09 11:46:13 am MYT
SHAH ALAM, 21 Okt: Pakar forensic dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan, memberikan keterangan yang mengejutkan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini apabila berkata, tengkorak kepalanya pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat.


Tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa. Bagi beliau, Beng Hock jatuh ke atas lantai di tingkat bawah tempat mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia juga berkata, kesan luka pada anus (dubur) mangsa juga akibat dari kemasukan objek keras sebelum beliau jatuh.

Berdasarkan kepada perolehan itu, beliau memberikan rumusan bahawa 80 peratus punca kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh dan hanya 20 peratus sahaja kerana bunuh diri.
Dr Pornthip (gambar) memberikan keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock di hadapan Koroner, Azmil Muntapha Abad. Beliau dipanggil sebagai saksi profesional oleh keluarga Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lalu, diatas tingkat lima, Plaza Masalam, disini, yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Dr Porntip atau lebih dikenali dengan Dr Death mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang ini telah menyiasat lebih 10,000 mayat sepanjang kerjayanya sebagai pakar forensik.
Beliau mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia dalam bidang ini. Beliau yang memeriksa beribu-ribu mayat mangsa tsunami yang melanda Thailand sebelum ini yakin, semangat mereka yang mati itu melindungi dalam menjalankan kerja-kerjanya sebagai pakar pathologi.
Sebagai bekas pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit maut itu, Dr Pornthip yang juga pakar DNA, sedang berusaha untuk meningkatkan sains forensik di negaranya.
-Tamat
Zaihan - Apa dah jadi ni agaknya? Kalau benarlah kenyataan daripada pakar ini, maka adakah kita kini juga terpaksa berharap dengan pakar dari luar negara untuk kes-kes forensik seperti ini???

Monday, October 19, 2009

MACAM - MACAM BHGN 1

Minta maaf lama tak mengetuk papan kekunci dalam blog ni. Bukan apa, selain sibuk dengan jamuan raya di sini sana, sibuk juga sebenarnya menyiapkan assignment pelajaran yang tertunggak dek kesyahduan Ramadhan dan kemeriahan Aidilfitri. Buat teman2 minta maaf sebab tak dapat mengadakan rumah terbuka tahun ini. Namun jika ada kelapangan jemputlah...rumah kami sentiasa terbuka buat kalian.
Hmmmm......Banyak juga perkara nak dikomen ni.....

ISU Kartika

Tak semena-mena puluhan laporan ke pejabat Majlis Agama Negri-negeri, dan laporan polis dibuat terhadap SIS dan JAG oleh ABIM. Tidak ketinggalan juga ABIM Wilayah juga telah membuat laporan kepada JAWI berkenaan hal ini. Ini gara-gara keceluparan dan kebiadapan oeh dua pertubuhan ini yang semacam untuk menunjuk hero kononnya membela Kartika tetapi pada masa yang sama, sama ada tanpa disedari ataupun tidak telah secara jelas menghina agama Islam itu sendiri. Kita harap Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan pihak polis dapat sesegera mungkin mengambil tindakan ke atas mereka ini.
Isa dan ISA
Kalau ISA yang huruf besar tak tahulah saya bila akan dimansuhkan. Nak dipinda pun tak tahu hujung pangkal lagi. Tapi yang pasti Isa yang satu lagi terus diminati. Majorit tinggi, macam tak percaya pun ada. Macam-macam analisis. Ada yang kata faktor Isa semata-mata. Ada yang kata UMNO telah diminati semula. Ada yang kata Undi Pos tak telus. Faktor Isa memanglah tak boleh disangkal. Hampir 22 tahun beliau telah mencurah bakti sebagai MB di kampung halamannya sendiri. Mungkin hampir semua penduduk Bagan Pinang pasti telah terkena tempias jasa dan khidmat yang beliau berikan sewaktu beliau menjadi MB dahulu. Mereka cuma membalas budinya.
Tapi TUN Mahathir kata kena tengok juga. Jangan disebabkan hanya sebab popular saja, kes-kes perilaku dan rasuah tidak diambilkira dalam pemilihan calon. Jangan hanya sebab nak menang pilihanraya kecil, pilihanraya umum tak diambilkira. Mungkin dalam kes Isa, beliau boleh menang. Macam mana di tempat lain? Kalau rasanya boleh jawabnya bekas-bekas YB, MB dan yg agak2 dah berkira nak pencen tu bolehlah pasang angan2 nak sambung atau nak bertanding semula. Kot-kotlah mungkin pengundi nak kenang jasa yang sudah2.
Bersambung....................

Wednesday, September 30, 2009

H1N1 DAN OPS SIKAP

Kes H1N1 memang menggemparkan. Malaysia walaupun agak lewat menerima tempiasnya (saya rasa ia hanya bermula dalam bulan 5) mencatatkan kes kematian yang agak tinggi berbanding negara2 lain. Setakat berita ini ditulis terdapat 77 kematian. Ramai yang telah mula sedar dengan kepentingan menjaga kesihatan dan kuarantin diri jika terkena penyakit ini. Alhamdulillah diucapkan.


Tapi lain pula dengan kes Ops Sikap. Tahun ini sudah edisi ke 20 ia dijalankan. Setelah hampir 14 hari dijalankan jumlah kematian dicatatkan ialah sebanyak 261 kematian dengan purata 18 kematian sehari. Nampaknya secara nisbah kematian akibat jalanraya jauh lebih tinggi berbanding H1N1. Adakah kita tak sedar tentang ini? Mungkin ada yang sedar, tapi adakah rakyat kita sudah insaf.
Selalu juga saya berkelana jauh sewaktu musim perayaan sebegini. Tahun ini saya balik beraya ke Perlis dari Kajang. Setelah 3 hari di Perlis saya ke Besut, Terenggganu. Jauh bukan? Alhamdulillah selamat sampai semula balik dari berhari raya. Apa yang saya ingin luahkan ialah sikap kebanyakan rakyat kita yang terkenal dengan lemah lembut, berbudi bahasa tinggi dan sebagainya boleh bertukar sekelip mata di belakang stereng dan hendal kenderaan.
Di sepanjang lebuhraya, mereka yang menunggang dan memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit, motor dan kenderaan berat di lorong laju, menukar lorong sesuka hati dan sebagainya adalah fenomema yang biasa kita lihat. Letaklah polis di sepanjang jalan hatta menurut Ketua Polis Negara "Dihukum bunuh" sekalipun mereka ini akan tetap melanggar undang2.
Di jalan yang lebih kecil malah lebih menakutkan. Di Perlis sekali, di jalan Gerik sekali juga, di Terengganu sekali lagi saat mendebarkan ketika saya terpaksa hampir memberhentikan kereta di tepi jalan kerana memberi laluan kenderaan dari arah bertentangan yang tak sabar2 memotong kenderaan lain tanpa mengira jalan kita yang sedang dirampasnya. Malah di Lebuhraya Timur Barat berhampiran Jeli pada hari raya kedua sekitar jam 8 malam saya menyaksikan sebuah kemalangan dahsyat melibatkan 3 buah kereta baru sahaja berlaku. Salah satunya remuk sepenuhnya. Cedera parah penumpang. Sempat isteri saya menelefon 999. Duah buah kereta polis dan dua buah ambulan sampai tak lama kemudian. Saya cuma dapat berdoa agar mereka dapat diselamatkan.
Sampai bila lagikah kita akan sentiasa mengira statistik kematian setiap kali musim perayaan yang panjang berlaku? Tidakkah kita sedar berapa jumlah kerugian harta benda, sumber manusia, potensi guna tenaga negara yang hilang begitu sahaja. Lakukan sesuatu segera. Saya masih ingat lagi lawatan saya ke negara Finland hampir 10 tahun lepas. Negara yang melahirkan ramai pelumba F1. Kami boleh sahaja melintas jalan sesuka hati di bandaraya Helsinki. Kereta akan berhenti apabila nampak sahaja orang akan melintas. Adakah salah untuk saya mengimpikan keadaan sebegitu...di negara Malaysia ini?

Wednesday, September 16, 2009


Assalamualaikum,


Semoga Ramadhan yang berlalu pergi dipenuhi Limpahan RahmahNYA
Semoga Ibadah yang ditekuni diterima penuh pahala amalannya
Semoga Puasa yang dijalani mengajar erti penuh keinsafan
Semoga Zakat yang dilunas menjadi pembantu mengadap Ilahi
Semoga Al Quran yang dikhatam dapat lebih difahami
Akhirnya, semoga Tarbiyah Ramadhan ini menjadi penyuluh dan menyuci jiwa.




Semoga Syawal yang tiba disambut penuh kesyukuran
Semoga Tasbih dan Tahmid sentiasa diucap penuh girang
Semoga ia menjadi tanda kemenangan para pejuang
Semoga disambut dengan sederhana tanpa pembaziran
Semoga diikuti pula dengan Syawal yang enam
Akhirnya Semoga dilanjutkan usia ditemukan lagi dengan Ramadhan akan datang, Amin.

Selamat Menyambut Eid Mubarak.
Minnal Aidil Wal Faidzin.

Zaihan Mahamud