Tuesday, March 2, 2010

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah

KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan. "Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.
Komen:
Entahlah. Saya rasa tak salah kalau orang ramai nak bercakap pasal hal ini. Ini soala masyarakat. Masyarakat timur yang berteraskan Islam. Yang mula pudar soal keislamannya. Soal moral, akhlak, aqidah yang bercampur baur dengan soal ketidakpedulian masyarakat, isu sosial, maksiat dan segala-galanya. Sukar untuk kita pinggirkan kisah ini. Kisah yang moga menjadi teladan buat semua dan lantas menerobos fikiran kita lalu bertanya...ke arah manakah masyarakat kita ini nak pergi...?

Wednesday, January 27, 2010

ISU PROVOKASI...2 MASJID JADI SASARAN

Saya dengan sedih, geram dan marah pergi bersama 2 sahabat saya dalam Majlis Belia WP iaitu Sdri Presiden, Ida Harlina dan Sdri Norhaiza melawat Masjid Imam At Tirmizi, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama petang semalam selepas paginya menerima berita terdapat dua kepala babi hutan yang dilemparkan ke perkarangan masjid tersebut. Sebuah lagi masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Perkara yang sama juga dilakukan.
Apa motif serangan tersebut? Saya tidak mahu menuduh tapi tanggapan saya mungkin juga sama dengan sebahagian besar masyarakat negara kita. Ini ialah provokasi yang sengaja cuba ditimbulkan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini. Mungkin secara kebetulan ataupun tidak tindakan ini dilakukan susulan isu kalimah Allah yang masih tidak selesai. Hingga kini 11 gereja, 2 surau dan kini 2 masjid jadi sasaran. Cukuplah..harap rakyat Malaysia tidak akan melatah.
Umat Islam pula memang berhak marah dek kerja provokasi ini. Umat Islam hendaklah bersabar dan jangan emosi dalam menghadapi sesuatu isu seperti ini. Isu ini amat sensitif. Kita juga tidak berhak untuk menuduh sesiapa melakukannya. Kita berharap agar pihak polis dapat menubuhkan satu pasukan khas menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Pastikan mereka yang cuba untuk mengganggu gugat keselamatan negara ini dibicara dan dihukum dengan setimpal.

Sunday, January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.
ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.
Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.
Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.
" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "
MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia

Wednesday, December 16, 2009

APABILA NAFSU MENGUASAI DIRI

Maafkan jika sesiapa tersinggung bila saya bercakap tentang hal seorang ahli sukan ini. Saya tahu ramai peminat bagi seorang makhluk Allah ini di seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga di Malaysia. Ramai peminatnya, berduyun-duyun. Pernah sekali beliau bertandang ke negara kita. Sesak nafas dibuat bagi mereka yang tak lepas peluang menonton aksinya. Bukan sedikit duit dihabiskan sekadar untuk melihat kelibatnya. Duit dari poket peminatlah, penontonlah malah penganjur lebih lagi. Yuran kemunculannya sahaja kadang2 mencecah berjuta Dolar. Itu baru muncul belum menang lagi. Bila dah menang masuklah pula berjuta-juta dolar.
Beliau diiktiraf selaku ahli sukan pertama yang mencecah pendapatan Laksawan (Billionaire). Ini termasuklah penajaan daripada syarikat gergasi dunia yang mempromosi barangan serta perkhidmatan mereka dengan meletakkan beliau selaku jurucakap, model dan sebagainya. Banyak sunguh syarikat antaranya Nike (Pengeluar Barangan sukan), Gatorade (minuman), Gillette (selalu kita lihat iklannya bersama Roger Federer dan Thierry Henry), Accenture (Perunding dan Kewangan), Tag Heuer (Jam terkemuka) dan pelbagai lagi jenama. Mereka menggambarkan kehebatan barangan dan perkhidmatan mereka setaraf dengan lagenda sukan ini. Malah kerajaan negara beliau merancang baru-baru ini untuk memberikan beliau pingat kebesaran tertinggi bagi orang awam bagi menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan beliau di seluruh dunia.
Tetapi tidak semena-mena, seluruh dunia gempar. Mulanya hanya sekadar kemalangan kecil berlaku. Tapi rupanya terdapat kisah yang sangat besar di sebaliknya. Terdapat skandal seks yang membarah menunggu untuk pecah dan pekungnya kini terhidu seluruh dunia. Ya.. itu lah dia jagoan dunia TIGER WOODS. Siapa sangka, beliau yang dua minggu sebelum itu dalam satu temuramah TV bercerita tentang nilai dan kasih sayang sebuah keluarga rupanya mempunyai perempuan simpanan. Eh silap...perempuan-perempuan simpanan. Setakat ini yang diketahui seramai 14 orang perempuan yang mengakui telah bersama dengannya sama ada secara sekali lalu atau sebagai kekasih gelapnya.
Inilah padahnya...bila nafsu menguasai diri. Nilai dan moral ditolak ke tepi. Beliau kini terpaksa mengundur diri daripada sukan golf dalam jangka waktu yang tidak diketahui. Ada penaja yang mula mengundurkan diri. Rakan hilang ke mana lalu menyendiri... Itulah sebabnya dalam Islam, soal moral, akhlak, adab dan ketaatan kepada ALLAH menjadi nilaian utama kita. Moga kita dijauhkan daripada sifat keji ini.
Wallahua'lam.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha Buat Semua,,,,,MAZA lagi

Terkejut juga dibuatnya apabila terdapat segelintir penonton dan panelis juga yang tertawa seperti memperlekeh wibawa imam-imam besar seperti Imam Syafie dalam rakaman Al Kuliyyah yang dirakam pada minggu lepas. Sungguh tak beradab mereka ini. Seolah-olah mereka menyamakan diri mereka setaraf malah lebih tinggi taraf daripada Imam-Imam besar ini.

Menilai suasana penolakan terhadap ahli sunnah wal jamaah oleh pengikut MAZA ini sambil tahu serba sedikit pengaruh kuasa di belakang beliau, saya sebenarnya tidak terkejut kalau rakaman yang sepatutnya disiarkan dalam slot Al-Kuliyyah ini akan dibatalkan. Malah, jika sekalipun ditayangkan akan disunting habis-habisan oleh tangan-tangan yang hipokrit ini. Sudahlah sepatutnya disiarkan secara langsung, saat- saat akhir ditiadakan terus.
Kerana apa? Kerana mereka yang menyokong MAZA ini sedar yang dari segi hujah, adab dan kupasan perbincangan pihak mereka kucar-kacir dan tidak mengikut dasar2 ilmu dan perbincangan ilmiah yang sepatutnya. Mereka pasti akan gah mengatakan kononnya merkalah yang benar dan akan menjadi mujtahid dan mujaddid baru buat semua ulat Islam. Nak buat apa lagi selepas ini? Hmmmm....diskusi dan ilmu perbincangan perlu dimakmurkan. Fahamkan lebih lagi tentang kefahaman Ahlussunnah Wal Jamaah.
Sambil itu.....Kita tunggu siarannya.....kalau ada.

Monday, November 2, 2009

Penangkapan Dr MAZA

Akibat episod penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin ini, saya amat terkejut dan kesal. Saya yakin sebenarnya ia boleh ditangani dengan lebih berhemah. Beliau seorang bekas Mufti dan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan. Sungguhpun jika sekiranya beliau tidak mempunyai tauliah untuk mengajar di negeri Selangor, kita difahamkan yang beliau memberi ceramah di sebuah rumah persendirian. Adakah JAIS dan pihak polis boleh atau berhak melakukan tangkapan tersebut.
Saya juga difahamkan terdapat 10 buah kereta polis yang mengiringi petugas JAIS ketika itu. Untuk apa? Provokasi sebegitu memburukkan lagi suasana. Jika benar ia adalah aduan daripada jiran-jiran kerana kesesakan dan tiada permit, bukankah polis sepatutnya bertindak menyuraikan majlis sahaja. Lebih malang lagi, selepas diminta Dr Maza untuk hadir di Mahkamah Syariah Gombak keesokan paginya, JAIS gagal mengemukakan pertuduhan segera terhadap Dr Maza setelah kekecohan akibat penangkapan malam sebelumnya.
Timbul persoalan. Bukankah JAIS di bawah kuasa kerajaan negeri yang sekarang diterajui Pakatan Rakyat? Jadi sepatutnya pendekatan yang lebih berhati-hati perlu dilakukan. Siapakah yang memberi arahan? Adakah tangan-tangan ghaib yang mencampuri urusan JAIS ini? Banyak sungguh khabar angin dan cerita-cerita di sebaliknya. Timbul pula kisah YADIM di sebaliknya. Akibat penolakan Dr MAZA menjadi YDPnya dan isu audit akaun YADIM. Macam2 hal pulak.
Justeru itu, saya nasihatkan mana2 pihak yang telah menimbulkan kekalutan ini, terutamanya pihak JAIS mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjernihkan suasana. Sudahlah umat Islam di negara kita ini sudah berpecah belah akibat pahaman politik masing2, tindakan sebegini ini boleh memburukkan lagi suasana yang sudah sememangnya buruk. Segeralah bertindak...
Zaihan Mahamud
YDP Abim WP

Wednesday, October 21, 2009

Teoh Beng Hock dipukul dan dicekik sebelum jatuh

Berita Gempar!!!!!!

Teoh Beng Hock dipukul dan dicekik sebelum jatuh

Sumber dari Harakahdaily
Wed Oct 21, 09 11:46:13 am MYT
SHAH ALAM, 21 Okt: Pakar forensic dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan, memberikan keterangan yang mengejutkan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini apabila berkata, tengkorak kepalanya pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat.


Tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa. Bagi beliau, Beng Hock jatuh ke atas lantai di tingkat bawah tempat mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia juga berkata, kesan luka pada anus (dubur) mangsa juga akibat dari kemasukan objek keras sebelum beliau jatuh.

Berdasarkan kepada perolehan itu, beliau memberikan rumusan bahawa 80 peratus punca kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh dan hanya 20 peratus sahaja kerana bunuh diri.
Dr Pornthip (gambar) memberikan keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock di hadapan Koroner, Azmil Muntapha Abad. Beliau dipanggil sebagai saksi profesional oleh keluarga Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lalu, diatas tingkat lima, Plaza Masalam, disini, yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Dr Porntip atau lebih dikenali dengan Dr Death mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang ini telah menyiasat lebih 10,000 mayat sepanjang kerjayanya sebagai pakar forensik.
Beliau mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia dalam bidang ini. Beliau yang memeriksa beribu-ribu mayat mangsa tsunami yang melanda Thailand sebelum ini yakin, semangat mereka yang mati itu melindungi dalam menjalankan kerja-kerjanya sebagai pakar pathologi.
Sebagai bekas pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit maut itu, Dr Pornthip yang juga pakar DNA, sedang berusaha untuk meningkatkan sains forensik di negaranya.
-Tamat
Zaihan - Apa dah jadi ni agaknya? Kalau benarlah kenyataan daripada pakar ini, maka adakah kita kini juga terpaksa berharap dengan pakar dari luar negara untuk kes-kes forensik seperti ini???