Sunday, May 10, 2009

PERAK OH PERAK

ASSALAMUALAIKUM,

Perak oh perak. Begitu berharganya perak sehingga ia diletakkan hanya di belakang emas jika disebut sebagai barangan berharga. Anak-anak kecil dalam upacara mencukur jambul sewaktu disambut kelahirannya, penamaannya malah aqiqahnya ditimbang rambutnya untuk diberatkan dengan timbangan perak. Malah kemahsyuran perak itu diiktiraf kepada sesiapa sahaja atau apa sahaja yang dapat melalui satu tempoh kegemilangan selama 25 tahun lantas diberikan jolokan Sambutan Jubli Perak.


Tapi yang dimaksudkan ini bukannya semua itu. Malah perak yang dikatakan ini sebenarnya adalah negeri Perak Darul Ridzuan yang heboh dikatakan seluruh dunia. Entah apalah nasibnya rakyat Perak ketika ini. Sungguhpun sewaktu PRU ke 12 dulu rakyat Perak telah memenangkan Pakatan Rakyat dengan 31 kerusi berbalas 28 tapi kini pemerintahan beralih pula kepada Barisan Nasional yang ada 28 + 3? kerusi - berbalas 28.


Dan entah di mana penghujungnya pula krisis ini, kini rakyat Perak tertanya-tanya hebatkah sangat Perak ini sampai semuanya terpaksa disebut sebanyak dua kali. Mula-mula Menteri Menteri Besar, kemudiannya Barisan-Barisan Exco dan yang terkini Speaker-speaker. Hebat juga ya. Lepas ni agaknya akan ada berapa lagi angka-angka 2 ni. Mungkinkah SUK-SUK? Isy..tergeliat lidah nak menyebut angka-angka matematik ni sampai dua kali ganda. Barangkali itu sebabnya Tun Mahathir dulu menetapkan diingeriskan sahaja matematik ini supaya yang dua kali ini semua ditambahkan 's' di belakangnya. Entahlah... gitulah gamaknya.

Harap-harap selepas keputusan Mahkamah Tinggi hari Isnin 11 Mei 2009 akan datang ini, terlerailah segala kekusutan jua. Wallahua'lam.



Zaihan Mahamud

Kajang 10/5/09


* Buat Bonda tercinta Puan Hajah Asion Bt Saad, Isteri Tersayang Puan Noraizah Muhd Nor dan tak lupa Ibu Mertua Puan Shamsiah Jaafar. Selamat Hari Ibu buat kalian.

No comments: