Tuesday, June 24, 2008

ASSALAMUALAIKUM...BICARA YDP

MUKTAMAR ABIM SEDANG RANCAK BERLANGSUNG....

Dalam bulan Jun ini para ahli di semua daerah sedang bertungkus lumus untuk menjayakan muktamar di peringkat daerah dan seterusnya di peringkat negeri dalam bulan Julai sebelum ke Muktamar Pusat sewaktu cuti sekolah yang kali ini akan diadakan di Negeri Sembilan. Ada beberapa peringatan yang perlu difikirkan oleh sahabat2 baik di peringkat daerah, negeri atau pusat. Tentang AKTA BELIA yang sudah diwartakan. Antara syaratnya ialah semua Exco Daerah dan Negeri mestilah berumur 40 tahun ke bawah.

Hmm....perlukan satu gerakan pemantapan ahli yang ada dan cari di mana ahli yang muda2 ini bersembunyi. Tidak seperti mencari ahli baru dalam politik, penuh dengan cabar-mencabar, tanding bertanding, cula mencula, setiap kali muktamar ABIM di peringkat mana sekalipun, tolak menolak jawatan berlaku acapkali. Kita perlu berusaha lebih keras selepas ini. Keras dalam mengatur tindakan, tersusun dalam strategi, terhasil dengan bilangan ahli. Insya-Allah teruskan usaha pahala menanti kita di akhirat bagi yang ikhlas berbakti. Insya-Allah.

MINYAK NAIK, BARANG NAIK, ANGIN NAIK, APA YANG TURUN?!

Kalau ditanya pada orang Selangor, mungkin jawapannya air yang turun. Syabas saya ucapkan kerana ada juga yang turun. Namun turunnya itu mungkin tak berkesan apa apa kerana yang naiknya seluruh alam kata Menteri Perdana. Rakyat mengeluh, kerajaan berpeluh, pembangkang berkeluh. Apa nak buat? Ramai orang bertanya?

Kalau ditanya saya, macam-macamlah. Selain menjimatkan perbelanjaan di sana-sini yang boleh setelah merubah sedikit cara hidup, ceburilah diri dalam perniagaan. Buat yang kecil-kecil dulu. Banyak contoh yang boleh diambil. Mungkin buat mi kuning di rumah, bagi perkhidmatan seperti perakauanan bagi yang layak, insurans, unit amanah dan sebagainya. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Maksudnya mulakan perniagaan yang tak memerlukan modal yang banyak untuk dimulakan. Kan Nabi Muhammad pernah berpesan yang 9/10 daripada rezeki itu daripada perniagaan. Selamat Mencuba!

Semangat kena sentiasa naik, jangan turun pulak.

Monday, May 26, 2008

AL-FATIHAH

Assalamualaikum,

Minta maaf agak sepi dari berita sejak kebelakangan ini. Terima kasih juga kepada TYDP dan exco yang memahami dan mengambil alih serba sedikit atas ketiadaan saya di ibu negara. Seminggu selepas Usrah gabungan AWP saya berulang alik ke negeri Perlis untuk menjaga ayahanda saya yang didiagnos mengidap kanser usus pada tahap 4.

Allah lebih menyayanginya. Setelah melalui beberapa pembedahan didapati kanser tersebut telah merebak juga ke hati dan paru-parunya. Beliau telah dijemput kembali ke rahmatullah pada 17 Mei 2008. pada jam 11 pagi. Al-Fatihah.

Tuesday, April 22, 2008

Usrah Gabungan AWP Sabtu ini 26-April bersama Hj Ahmad Azam Abd Rahman



Assalamu'alaikum warahmatullah

Insyaallah dijemput sahabat2 Abim Wilayah & Daerah sekelian untuk hadir beramai-ramai ke :

Majlis Usrah Gabungan AWP yang akan diadakan pada hari Sabtu ini 26-April-2008 di sekolah kita, SERI al-Huda, Jalan Gombak.

Aturcara majlis adalah seperti berikut:

7:00 Kehadiran

7:30 Maghrib berjemaah & Ma'thuratMakan Malam

8:30 Isyak berjemaah

9:00 Pengisian oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman

Mantan Presiden ABIM

Naib Presiden WADAH

11:00 Minum malam dan bersurai


Kita juga kemungkinan akan mengadakan sesi taklimat program PKA-25 pada malam itu, insyaallah. Jemputan ini turut diperpanjangkan ke ABIM Selangor dan keluarga besar Abim yang berkelapangan untuk hadir termasuklah PKPIM, WADAH, Muafakat, KBI dan agensi...

Wassalam

ASMAWI

Kemiskinan Tak Kenal Rupa, Bangsa, Agama

Dua tiga hari ini selepas sibuk menghadiri dua tiga mesyuarat agung yang disertai saya sempat membelek dua tiga akhbar arus perdana. Sudah tentu yang agak adil dan neutral liputannya jadi pilihan. Akhbar berbahasa Inggeris yang menjadi pilihan sudah tentu The Star, The Sun dan akhbar melayu sudah pastinya Sinar selain akhbar online di internet yang lebih meluas dan adil sifatnya.

Saya tertarik dengan 2 tiga kisah kemiskinan yang dipaparkan. Yang pertama di Seremban, 6 orang adik beradik kaum cina yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka akibat kesempitan hidup. Keluarga besar yang mempunyai 16 adik beradik telah berpisah dengan 10 yang lain kerana bapanya tidak mampu menjaga mereka. Abang yang sulung baru berusia 18 tahun, Toh Chee How cuba untuk menyara adik2nya, namun apakan daya beliau juga baru berhenti kerja setelah ibu bapa mereka meninggalkan rumah.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga rumah yang mereka diami kini hasil ehsan jiran pula akan dirobohkan kerana terletak dalam laluan projek lebuhraya baru Kajang Seremban. Kini Wakil MCA Seremban sedang cuba membantu mereka.

Kisah kedua, di Klang, PKR sibuk membantu sebuah keluarga ibu tunggal anak tiga yang terpaksa tinggal di dalam kawasan tokong cina akibat kesempitan hidup dan tiada tempat berteduh sebelum ini. Mereka kini telah mengusahakan bantuan dengan memindahkan keluarga berkenaan dan kini tinggal di tempat yang lebih elok dan sesuai.

Kisah ketiga, Yeap Jia Hui budak berumur 10 tahun yang tinggal berseorangan selama 2 tahun di sebuah flat yang penuh dengan sampah sarap kerana ditinggalkan oleh ibunya yang pergi bekerja di sebuah tempat lain. Beliau diberikan kad ATM oleh ibunya agar beliau dapat mengeluarkan wang sekiranya memerlukan. Kisah ini terbongkar setelah sudah beberapa lama ibunya tidak memasukkan wang ke akaunnya menyebabkan beliau terpaksa meminta bantuan jran-jirannya.
Memang benarlah kata-kata Saidina Ali. Jika kemiskinan itu satu makhluk, sudah pasti akan kubunuhnya. Kerana kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran. Fikirkanlah.....Harap-harapnya dengan kesedaran politik ketika ini, Malaysia boleh menuju ke arah negara yanuk semuag ditadbir dengan lebih baik. Bak Mahatma Ghandi - Dunia ini cukup untuk semua orang tetapi tidak akan cukup untuk seorang yang tamak.
Kajang 8.00 pm
22/4/08
Hari Bumi Sedunia

Tuesday, April 8, 2008

TEGURAN BUAT ANUAR ZAIN

Assalamualaikum,

Tidak disangkal yang lagu-lagu yang dinyanyikan oleh sesusuk tubuh idaman MALAYA ini kononnya banyak membuai perasaan dan menjadi siulan ramai tidak kira di mana. Lagu-lagu yang sentiasa berkumandang di corong-corong radio membuai hati para pendengar muzik di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Namun baru-baru ini saya agak terkejut apabila penyanyi ini membuat kenyataan seperti di bawah.
"Pada malam itu, saya akan jadi milik mereka. Jadi mereka boleh buat apa sahaja pada saya. Mereka semua boleh cium dan duduk atas riba saya kalau mereka mahu," ujar penyanyi 'Lelaki Ini' tentang majlis makan malam istimewa 'A Nite With Anuar Zain' yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2008 ini.

Saya berasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat kerana dia sanggup membuat tawaran sedemikian terhadap peminatnya. Biarpun ianya bertujuan untuk menggembirakan peminatnya namun ia pasti mencetuskan kontroversi. Apatah lagi sebelum ini, dia pernah dikritik hebat ekoran dicium peminatnya yang bersikap terlalu 'over'.

Kata beliau lagi, "Jangan fikirkan tentang kontroversi kerana ciuman itu adalah perkara biasa, lagipun setakat cium di pipi sahaja dan bukannya ada berbaur sensual. Kalau saya tak bagi cium pun, peminat akan datang cium juga dan ia adalah perkara biasa setiap kali saya membuat persembahan."Bagi saya, hari tu adalah hari untuk berseronok dan mereka mahukan perhatian dari saya. Jadi tak salah sekiranya saya mahu menggembirakan mereka," katanya yang ditemui ketika pelancaran majlis tersebut di La Bodega, Pavillion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Majlis makan malam anjuran Sutra D’ Mega Event & Entertaiment Sdn. Bhd. yang bertemakan 'Glamorous' ini akan menyaksikan Anuar Zain mempersembahkan hampir 20 buah lagu dari album-album sebelumnya termasuklah lagu popular seperti Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Teman Terulung dan sebagainya selama lebih dua jam bagi meraikan peminatnya pada malam tersebut.

Sungguhpun kita akan berkata dalam hati kecil kita inilah dunia artis yang sentiasa penuh dengan kemaksiatan dan sebagainya, namun kita sebagai Umat Islam sentiasa ingin melihat ugama ini disanjung dan diletak di tempat sewajarnya tidak patut hanya berdiam diri melihat segala kemungkaran ini di depan kita. Sesungguhnya tanpa perlu menawarkan diri sebegitu rupa Anuar Zain pasti mempunyai peminatnya juga.

Saya selitkan sedikit gambar-gambar yang pernah dikaitkan dengan kontroversi itu. Manakah perginya akhlak dan tata susila orang kita yang rata-ratanya Melayu dan Islam ini?




Friday, April 4, 2008

ALAHAI "GEERT WILDERS DAN FITNA" NYA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dunia dikejutkan lagi dengan tayangan FITNA yang telah diterbitkan oleh seorang Ahli Parlimen Belanda Geert Wilders. Walaupun telah beberapa kali peristiwa seperti ini dilakukan oleh pihak yang mahu mengeruhkan imej Islam, tindakan ini selalunya pasti menimbulkan impak yang dahsyat. Impak yang bukan sahaja berlaku terhadap negara seperti Denmark, malah individu seperti Salman Rushdie, Taslima Nasrin dan sebagainya.


Kesan selepas ini akan mula menular. Negara-negara Islam telah mula membuat bantahan demi bantahan atas penyiaran filem ini. Walaupun kerajaan Belanda telah membuat penafian dan menjauhkan diri dari mengaitkan kerajaan negara Belanda dengan filem ini, namun tiada tindakan yang diambil terhadap Wilders, jika adapun hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan ini sudah pasti tidak memuaskan hati umat Islam di seluruh dunia.

Namun kadang-kadang musibah yang melanda ada pelbagai hikmahnya. Lihat sahaja selepas peristiwa "9 11". Minat manusia untuk mendalami ajaran Islam berkembang tanpa diduga, menjadikan Islam sebagai Ugama yang kini menjadi ugama terbesar di dunia mengatasi Kristian Katolik dalam bancian 2007. (Umat Islam masih No 2 teramai jika Katolik dicampur dengan Protestan)

Cuba kita lihat pula firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” (QS. Ali ‘Imran:54)

Lihatlah hikmah yang berlaku. Melalui sumber di Belanda, perpustakaan di Belanda dalam beberapa minggu lalu menyaksikan kunjungan yang luar biasa banyaknya terhadap terbitan mengenai Islam di Amsterdam. Orang-orang Belanda membeli dalam jumlah besar mushaf-mushaf elektronik yang diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda, sehingga hampir habis di pasar dalam dua hari yang lalu. Malah ditambah pula dengan satu khabar yang 3 orang telah memeluk Islam dalam seminggu ini.
Benarlah Islam itu tetap tinggi di sisi Allah walaupun umatnya sentiasa ditindas, terpinggir, lemah serba serbi, miskin harta dan sebagainya. Pujangga Iqbal pernah menuturkan yang "Islam Spread Despite of The Muslims".
Kita terkilan tapi hikmahnya tetap Allah tunjukkan. Sebagai umat Islam yang prihatin, jika boleh ambil sedikit bahagian untuk terlibat. Begitu banyak barangan keluaran Belanda yang berada di pasaran. Jika kita masing-masing mengambil bahagian hendak tak hendak pasti kesannya akan dapat dirasai oleh kerajaan dan individu2 ini untuk lebih berhati-hati terhadap sebarang unsur yang boleh memarakkan kebencian terhadap agama Islam.
Saya senaraikan serba sedikit barangan keluaran Belanda. Sumber diperolehi dari PPIM.

BOIKOT-PRODUK DARI BELANDA/DUTCH

1. Dutch Lady - Susu
2. Ferrero Roche - Coklat
3. Wall's - Ais Krim
4. Ing -Insurans
5. Planta -Magerin
6. Lady's Choice -Magerin
7. Lipton -Teh
8. Shell -Minyak
9. Knorr -Perisa Makanan
10. Dove -Mandian
11. Sunlight -Magerin/Pencuci Pinggan
12. Radiant -Deodoran
13. Rexona -Deodoran
14. Ponds -Produk Kecantikan
15. Kieldsens -Coklat
16. Slimfast -Produk Pelangsing
17. Lego -Kismis
18. Philips -Barangan Elektrik
19. Duyvis -Makanan Ringan
20. Gouda -Keju
21. Robin -Pencuci Lantai/Pakaian
22. Ariel -Pencuci Lantai/Pakaian
23. Omo -Pencuci Lantai/Pakaian
24. Labello -Lip Balm
25. Pickwick -Teh
26. Venz -Mentega Coklat
27. Kinder Bueno -Coklat
28. Unilever -Syarikat
29. Sunsilk -Shampoo
30. Fair & Lovely -Produk Kecantikan
31. Lux -Mandian
32. Vaseline -Lip Balm
33. Cif -Pencuci Lantai
34. Surf -Pencuci Kain
35. Wishbone -Pencuci Kain
36. Doriana - Keju Krim
37. Bertolli -Minyak Masak
38. Clear -Shampoo
39. Breeze -Pencuci Kain
40. Sun -Pencuci Kain

Jangan lupa selain buat bajet barangan yang hendak dibeli sebelum keluar rumah membeli belah, bawa juga senarai barangan ini.
Wassalam.

Wednesday, March 26, 2008

SEPINTAS LALU PRU 12

Assalamualaikum dan salam perjuangan,
Mungkin ramai yang masih bercerita tentang pahit manis kenangan sewaktu PRU 12 tempoh hari. Bagi sebelah pihak yang dihempas atau menimbulkan Tsunami politik ini pasti ada susur galur penceritaan masing-masing yang boleh kita ambil teladan daripadanya. Pelbagai analisa mungkin juga telah kita hadamkan sepanjang hampir 3 minggu PRU berlalu.

Bagi pihak ABIM, sejauh mana peranan yang kita ingin mainkan itu yang lebih utama. Baik di pihak BN atau di pihak PR (Pakatan Rakyat), kita sama-sama harus berperanan agar kita dilihat sebagai satu pihak yang memegang teraju dakwah dan tarbiyah dan kekal sebagai sebuah gerakan yang relevan di negara kita ini.

Kita perlu melihat dalam kerangka yang lebih besar sekarang. Kalau dahulu mungkin kita kata yang aktiviti atau gerakan kita terbatas, tersekat, tersangkut dan sebagainya, maka kini dalam suasana yang mungkin lebih terbuka baik di pihak BN atau PR, suara kita sebagai generasi yang bukan sahaja sebagai pendesak malah mungkin kita perlu lebih menonjolkan diri selaku pemain utama gelanggang dakwah sebagai penyatu Ummah.

Cukup ramai juga sahabat kita bertanding dalam PRU ini baik di pihak BN atau PR. Sebagai contoh, sahabat kita YB Fairus Khairuddin, telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Dalam suasana keterbukaan ini, kita akan pasti berdepan dengan arus tekanan yang lebih kuat. Islam selaku agama rasmi negara ini kini benar-benar akan dilihat dengan lebih dekat oleh semua pihak.

Islam yang dulu mungkin disalahertikan oleh sesetengah, kini berpeluang untuk ditonjolkan dengan meluas di gelanggang terbuka. Trend pengundian yang berlaku menunjukkan kini tiada lagi batasan kaum dan agama yang sekian lama menjadi teras politik negara. Rakyat telah memilih untuk bukan sahaja melihat calon yang berwibawa malah pentadbiran yang lebih telus diharapkan daripada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih. Semoga diberikan kekuatan pada sahabat kita yang memilih laluan politik dalam meneruskan usaha dakwah ini.

Kini tiba masa kita bekerja turun ke gelanggang. Bersama-sama kita tegakkan Islam yang mulia ini mengambil semangat perjuangan Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah kenal erti lelah dalam mensyariatkan Islam di bumi Allah ini.

Wassalam.

Wassalam.