Wednesday, August 19, 2009

257 kes baru H1N1

19/08/2009 3:23pm

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Seramai 257 pesakit disahkan positif Influenza A (H1N1) dan tiada kematian akibat jangktan wabak itu dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Beliau berkata daripada 257 kes baru itu, 36 kes di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 21 kes mempunyai faktor risiko seperti diabetes, penyakit kronik, asma, hamil dan bersalin, obesiti, kanak-kanak istimewa dan bayi.


“Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan Influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dr Mohd Ismail turut meminta mereka yang mempunyai simptom penyakit itu supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli belah dan mengelak daripada menaiki kenderaan awam.


“Mereka yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu, sesiapa yang ada simptom ini mesti berada di rumah, jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tidak bersimptom lagi,” katanya. Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300.

- BERNAMA
*** Banyaknya jangkitan satu dalam masa satu hari. Nampaknya budaya mementingkan diri sendiri masih menular dalam masyarakat kita. Jika kita mempunyai simptom ini, kuarantinkan diri sendiri. Ini bagi mengelakkan jangkitan terhadap masyarakat di sekeliling kita.

Wednesday, August 12, 2009

H1N1 - SATU PANDANGAN

Assalamualaikum,
  • Masih saya ingat sewaktu bulan mei akhbar menyiarkan tentang jangkitan virus H1N1 ini di muka hadapan. Waktu itu penularan hanya membabitkan kes import dan tiada langsung kes tempatan. Tetapi setakat pandangan ini saya tulis, telah ada 44 kematian di negara kita akibat virus ini. Rakyat kebanyakan mulai cemas malah ada yang mula panik. Salah siapa? Tidak guna menuding jari. Salah kita semua.
  • Saya berpendapat rakyat kita ini mengambil mudah tentang virus ini. Dalam sains virus amat kompleks sifatnya. Ia boleh bermutasi dengan cepat. Ia boleh saja menjadi H1N2 atau H2N1 atau lain2. Dengan iklim persekitaran kita yang panas lembap ini, penularan H1N1 boleh berlaku dengan mudah. Cuma dengan sentuhan tangan, batuk dan bersin ia boleh merebak. Di pihak kita, mungkin sebab kita memandang remeh atas setiap simptom yang berlaku menyebabkan ada yang menyalahanggap ia sebagai hanya demam biasa.
  • Di peringkat doktor perubatan pula apa yang kita harapkan ialah supaya pengesanan penyakit ini dapat dibuat secepat mungkin. Dalam sesetengah kes kematian yang kita lihat, pesakit telahpun pergi menemui doktor berulang kali dalam jangka waktu yang lama dan telah diberikan beberapa jenis ubat, tetapi akhirnya gagal dan pesakit menemui ajalnya. Bagi pesakit diabetes, kencing manis, darah tinggi, asma atau yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, pastikan tahap penyakit anda dipantau dengan sempurna bagi mengurangkan komplikasi jangkitan ini.
  • Di pihak kementerian kesihatan dan ajensi berkaitan pula, saya amat berharap agar pihak berkaitan menjalankan kempen secara berterusan ke peringkat akar umbi. Sekolah dan pusat2 pengajian dinasihatkan memakai topeng pelindung agar wabak penularan ini terkawal. Keputusan penutupan sesebuah institusi perlulah sentiasa dipantau dengan tepat dan segera.
  • Kuarantin diri juga perlulah diamalkan oleh setiap individu. Jika anda mengalami simptom batuk, selsema dan sebagainya, kuarantinkan diri anda daripada masyarakat. Anda perlu tahu, jika simptom anda itu bukannya H1n1pun, tetapi kerana waktu itu imuniti tubuh anda agak lemah, anda akan agak mudah dijangkiti oleh H1N1. Mungkin mufti boleh bagi pandangan/fatwa jika anda mempunyai simptom ini jangan ke solat jumaat.
  • Sebagai umat Islam pula, kita dinasihatkan melakukan solat hajat agar dijauhi daripada wabak ini. Doa penghindar wabak / bala banyak yang telah dikirimkan oleh kawan2 sebelum ini. Terakhir sekali bagi pengamal herba dan ubatan alami saya juga menyarankan pengambilan Minyak Kelapa Dara sebagai makanan harian dan bagi pengidap H1N1 ini atas sifatnya yang Anti - Virus.
Sekian Wassalam.

Wednesday, August 5, 2009

ABIM gesa kerajaan percepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA.

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan tindakan bagi proses penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku kelmarin dapat dielakkan dari berterusan.

Antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan menyertainya.
Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan protes-protes yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat ini sebagaimana yang terjadi kelmarin kerana ia merupakan manifestasi bantahan terhadap perlaksanaan ISA yang dilihat telah banyak melanggar batas-batas hak asasi warganegara dari kerangka perlembagaan.

Sehubungan dengan itu juga, ABIM ingin meminta pihak keselamatan membebaskan mereka yang ditahan pada perhimpunan kelmarin dengan kadar yang segera. ABIM juga ingin meminta orang ramai supaya memberi peluang dan masa kepada pihak kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang telah membuat kenyataan rasmi untuk membuat kajian semula terhadap akta ini, menyempurnakan janjinya. Ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terbanyak hendaklah dipelihara oleh semua pihak.

ABIM ingin terus mempertegaskan sikapnya pada sebelum ini iaitu ISA hendaklah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan prinsip hak kemanusian dari perspektif agama Islam. Oleh itu, ISA hendaklah diganti dengan satu undang-undang baru yang lebih adil sejajar dengan tuntutan agama dan perlembagaan Malaysia.
‘Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan’

MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Monday, July 20, 2009

APA DAH JADI SPRM?

Assalaamualaikum,

Sukar untuk tidak menulis tentang peristiwa kematian Teoh Beng Hock, pembantu seorang Exco negeri Selangor minggu lepas. Kematian beliau yang penuh misteri dilaporkan berlaku selepas beliau dilepaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah diambil keterangan siasatan penyelewengan wang kerajaan negeri. Ini bukan sebuah kes politik. Sesiapa sahajapun boleh dipanggil memberi keterangan. Mengapa perkara ini harus terjadi?

Mengapa misteri? Misteri kerana agak sukar dipercayai maklumat awal yang mengatakan beliau membunuh diri. Agak sukar diterima telahan itu kerana beliau yang baru sahaja berusia 30 tahun, menurut keluarganya tidak mempunyai masalah besar, telah berkahwin dan hendak mendaftarkan perkahwinannya pada hari itu, isterinya pula mengandung dua bulan dan seorang yang sentiasa ceria dan mudah didampingi tiba2 hendak membunuh diri.

Tapi kenapa sampai tiba2 ada yang terbunuh. Menurut SPRM, mendiang telah dibenarkan pulang sekitar jam 3.45 pagi. Tetapi telah memilih untuk terus berada di situ dan dilihat oleh beberapa orang sekitar jam 6 pagi tidur di sofa SPRM. Banyak persoalan yang timbul ketika ini. Mengapa mendiang tidak terus pulang? Keretanya berada di tempat letak kereta di tingkat bawah. Apa yang terjadi antara jam 3.45 pagi hingga 1.30 tengah hari apabila mayatnya ditemui?

Banyak sungguh soalan yang tidak terjawab. Sungguhpun pihak polis berjanji akan menyiasat kes ini dengan setelusnya, pasti akan ada pihak yang tidak akan berpuas hati dengan hasil siasatan ini. Kini banyak pihak yang meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja agar siasatan nanti boleh dilakukan dengan lebih telus.

Saya secara peribadi menyokong agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini ditubuhkan. Ini bagi mengelakkan segala tohmahan dan kecaman orang ramai tentang hasil siasatan ini nanti. Adakah akan terjawab segala persoalan? Mengapa perkara ini terjadi? Banyak sungguh soalan yang perlu ditanggung. Lebih hiba lagi di pihak keluarga mendiang. Kehilangan satu nyawa muda yang begitu berharga. Takziah kita ucapkan.


Tuesday, July 14, 2009

ABIM alu-alukan keputusan memansuhkan PPSMI


ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalu-ngalukan keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai sessi persekolahan tahun 2012.

Keputusan ini menandakan kesediaan untuk pihak pembuat dasar hujah-hujah ilmiah yang telah dikemukakan oleh tokoh akademik, pendidikan, sasterawan serta mahasiswa mengenai kelemahan PPSMI semenjak ia dilaksanakan pada tahun 2003 yang lalu.
Menerusi keputusan ini, ia juga menzahirkan indikasi positif terhadap suburnya amalan demokrasi di negara ini terutama sekali dalam sektor-sektor yang menyentuh kepentingan rakyat seperti pendidikan dan lain-lain.

Dalam pada itu, ABIM ingin menegaskan bahawa perlunya usaha secara bersepadu dan berterusan untuk memperkasa Bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya di dalam perlembagaan persekutuan, seperti meluaskan penggunaannya di pelbagai sektor di samping menjadikannya sebagai medium terbaik untuk mencipta integrasi di antara pelbagai kaum di negara ini.

DEMI KEBENARAN DAN KEADILAN


YUSRI MOHAMMAD
PRESIDEN
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM

Friday, July 10, 2009

PEMANSUHAN PPSMI

  • ASSALAMUALAIKUM,

  • Pemansuhan PPSMI yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari disokong sepenuhnya oleh majoriti rakyat. Walaupun, terdapat sesetengah pihak yang menentang pemansuhan ini, fakta dan data yang dibentang menunjukkan dasar tersebut telah gagal untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
  • Saya telah lama menekankan dalam mana2 perbincangan, penerangan dan diskusi bahawa cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa ialah dengan menguasai bahasa tersebut dengan memantapkan penggunaan tatabahasa, pertuturan dan kesusasteraannya. Contoh yang terbaik ialah dengan kita melihat para pelajar yang akan dihantar belajar oleh negara kita ke sesebuah negara yang tidak menggunakan Inggeris sebagai bahasa utama mereka seperti Peranchis, Jerman, Jepun ataupun Korea.
  • Kita akan dapati sebelum mereka mendalami ilmu dalam bidang apa sekalipun, mereka diwajibkan mengikuti dan lulus kursus intensif selama 3 bulan hingga ke setahun untuk memahirkan diri mereka dalam bahasa tersebut. Bukannya dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut. Justeru, pengumuman TPM yang menyebut penekanan terhadap pemantapan bahasa Inggeris akan dipertingkatkan melalui beberapa kaedah tambahan amat saya alu-alukan.
  • Namun terdapat satu kemusykilan tentang pengumuman pemansuhan PPSMI ini. Sewaktu PPSMI dikuatkuasakan, Kementerian Pelajaran hanya mengambil masa 6 bulan untuk ia dimulakan. Tetapi kini 2012 barulah hendak dikuatkuasakan. Sepatutnya, bermula 2010 pelajar tahun 1 dan 4 di sekolah rendah serta Tingkatan 1 dan 4 di sekolah menengah sepatutnya telah boleh bermula dengan Bahasa Melayu. Penterjemahan semula buku2 ke bahasa Melayu boleh dilakukan secara berperingkat seiring dengan proses pemantapan Bahasa Inggeris. Kenapa perlu hendak ditunggu sehingga 2012?
  • Kemukakan pandangan anda agar Abim Wilayah dapat membuat satu kenyataan akhbar sesegera mungkin berkenaan hal ini.
  • Zaihan Mahamud
  • Kajang 7.07 am
  • 11 Julai 2009

Tuesday, July 7, 2009

MOTORSIKAL TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN - BHGN2

ASSALAMUALAIKUM,

Haaa ini dia motorsikal terhebat sepanjang zaman. Jangan terkejut ya. HONDA CUB!!! Ya Honda Cub. Yang dulu-dulu orang kita kata motor cub lampu bulat 2. Di kampung-kampung para petani buat angkut beras seguni. Segala macam yang diangkutnya. Ada beberapa faktor yang menjadikannya sebagai yang terhebat sepanjang zaman.
1. Honda cub mencipta fenomena sekitar tahun 60 an. Dengan pengeluaran motosikal ini, segala stigma tentang motor iaitu susah dibawa, mahal dan sebagainya hilang. Lelaki, perempuan dan remaja boleh memilikinya tanpa berfikir panjang dan menyesakkan poket. Bukan setakat di negara kita, malah seluruh dunia termasuk Amerika dan Eropah dilanda kegilaan Honda Cub ini.
2. Keupayaannya mengangkut beban yang besar benar2 mengkagumkan. Tengok ajalah waktu kecil2 dulu datuk ana angkat, guni beras, gula, padi macam2. Steady aja.
3. Minyak enjinnya tahan lasak. Dalam satu ujian minyak enjinya telah dikeringkan. Lalu diganti dengan minyak masak yang telah digunakan. Makin laju nampaknya.
4. Cilok2 di celah kereta memanglah hebat. Satu ujian ekstrim telah dilakukan. Motor ini dijatuhkan dari bangunan setinggi 25 meter. Memanglah bengkok rim tayar dibuatnya, tapi menakjubkan. Ia masih berfungsi dengan baik.
Itulah antara sebabnya mengapa Honda Cub ini dipilih oleh peminat motor sebagai motor terhebat sepanjang zaman.
Apa tamsilannya kepada kita semua selaku pendakwah. Saya akan ulas dalam tulisan saya yang seterusnya. Adios. Wassalam.
Zaihan Mahamud.