Sunday, September 14, 2008

KENYATAAN MEDIA

MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).

9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah atau dimanipulasi dan soalan juga masih dwibahasa.

DENGAN INI KAMI BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN YANG BERIKUT (SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI (LIHAT ASRAF, MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.


1) KUMPULAN PRIHATIN
2) PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM)
3) ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
4) AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI)
5) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
6) WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
7) PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM)
8) PERS.KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
9) INSTITUT ALAM TAMADUN MELAYU,UKM (ATMA)
10) PERS. PENULIS NASIONAL (PENA)
11) PERS.EKSEKUTIF & USAHAWAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PESUMA)
12) PERS.BEKAS PELAJAR ITM (PBP-ITM)
13) PERS.SULUH BUDIMAN (PSB)
14) PERS.MAHASISWA ISLAM TIMUR TENGAH (PBMTT)
15) PERS. PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA (PPMM)
16) PERS. SENIMAN MALAYSIA (SENIMAN)
17) GABUNGAN PERS.PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
18) TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)
19) GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
20) PERT.TINDAKAN WANITA ISLAM (PERTIWI)
21) PERS.ALUMNI SEKOLAH ALAM SHAH (PASAS)
22) KESATUAN SEKERJA DBP
23) PERSATUAN PENULIS KUALA LUMPUR (KALAM)
24) PERSATUAN PENULIS JOHOR (PPJ)
25) PERSATUAN PENULIS MUAR
26) PERS. ULAMA MALAYSIA PULAU PINANG (PUMPP)
27) GABUNGAN MAHASISWA DARULAMAN (PERSADA)
28) GABUNGAN MAHASISWA BERSATU PERAK (BERSATU)
29) KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT(KGMMB)
30) PERSATUAN SAINS KEADAAN PEPEJAL (PSKP)
31) PERS.BIOLOGI GUNAAN MALAYSIA
32) PERS.SAINS MATEMATIK MALAYSIA
33) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
34) KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
35) KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
36) GAMIS
37) PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)
38) IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
39) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR
DARUL EHSAN (PEPIAS)
40) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI KEDAH (PERSIDA)
41) PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
42) KESATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (KPIM)
43) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
44) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
45) PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PERTIWI)
46) PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PSM)
47) PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

Sunday, September 7, 2008

RAMADHAN TIBA, AL FATIHAH

Assalamualaikum,

Ramadhan sudah hampir seminggu berlalu pergi. Rasa rindu menunggu ketibaan bulan latihan ini menuntut kita untuk bersama meningkatkan penguasaan dalam ilmu dan amal. Moga ibadah kita ini diterima dan dimasukkan dalam amalan soleh yang dikira dalam buku amalan kita.

Setelah hampir 2 minggu setelah Muktamar ABIM Pusat di Paroi berita kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih banyak menghiasi dada-dada akhbar saban hari. Pelbagai pendapat politikus, pemerhati, peminat, rakyat jelata terus menghiasi sampai tiada penyudahnya. Diharap dengan kemasukan semula DSAI ke dalam Dewan Rakyat berjaya membawa mutu perdebatan dan pertanggungjawaban yang lebih baik di dalam parlimen kita. 16 September 2008? Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimana kesudahannya.

Hari Khamis 4 September 2008 selesai sahur, SMS telefon bimbit isteri saya yang sedang bersiap-siap hendak ke tempat kerja berbunyi. Al Fatihah. Sahabat rapat beliau, juga bagi seluruh Abim Daerah Titiwangsa, KBM-UPM, PKPIM-ITM iaitu Saudari Sharifah Zalina yang sekian lama menderita penyakit akibat kencing manis telah pulang ke rahmatullah di rumahnya di Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu. Pergi dalam umur baru menjangkau 33 tahun. Sangat muda tetapi hidupnya sarat dengan segala macam cerita duka nestapa. Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan hamba-hamba yang bertaqwa dan mendapat tempat yang istimewa di sisi ALLAH SWT. Buat sahabat di Terengganu yang berkelapangan, ziarahlah ibu beliau jika boleh kerana waktu Ramadhan yang lepas bapanya telah pulang ke rahmatullah mendahuluinya.
Zaihan Mahamud
7 Ramadhan 1429
1208 am

Wednesday, August 20, 2008

Muktamar ABIM dan 3P

Assalaamualaikum,


Muktamar ABIM Pusat


Alhamdulillah seramai hampir 500 orang yang telah mengikuti Seminar Pemerkasaan Agama dan Bangsa sempena Muktamar Tahunan Abim Pusat kali ke 37 di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan. Muktamar yang diserikan dengan pembentangan kertas kerja oleh antaranya Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Shamsul Amri Baharudin, Dato Dr Siddiq Fadhil, Prof Awang Sariyan, Prof Wan Nor Daud, Prof Dr Redhuan Othman dan Dato Fuad Zarkashi memberikan pelbagai perspektif dalam perkembangan tanah air terutamanya perkembangan politik selepas PRU-12. Buat yang tak dapat pergi boleh dapatkan DVD/VCD keluaran ABIM selepas ini. Terima kasih juga buat ABIM NS yang jadi tuan rumah kali ni. Dengarnya Perak dan Pulau Pinang pula yang menawarkan diri untuk tuan rumah tahun depan. Insya-Allah.

Nota- Teringat Dato' Siddiq Fadhil memberi maksud secara gurauan Muqabalah - Muka berbalah-balah. Mubahalah pula- Bahlul membahlul.


Harga Minyak Turun

Sebentar tadi harga minyak sudah diturunkan. Petrol RON 97 sebanyak 15 sen. Hmm...dalam suka tu ada dukanya. Saya tetap berpendapat yang keputusan kerajaan menaikkan harga tempoh hari sebenarnya sebagai satu keputusan yang tergesa-gesa. Bak orang puteh kata.."Damaged has been done". Bagi yang masih tak faham lagi saja je saya nak tanya agak-agaknya harga barang yang dah naik tu ada tak yang akan turun selepas ni. Entahlah Wallahua'lam Bissawab...Susah jugak nak jawab.

Nota taip-Nak kene suruh Dato' Sharir buat kawalan turun harga pulak.


3P-Pembela pendidik Prihatin

Dalam ABIM sibuk bermuktamar untuk agenda 3P ini iaitu Pembela, Pendidik dan Prihatin ini orang politik sibuk juga dengan 3Pnya. Yang saya dengar 3P tu bermaksud Permatang Pauh-Parlimen-Putrajaya. Selamat Maju Jaya kita ucapkan kepada yang bertanding. Semoga pertandingan yang berlangsung dijayakan dengan penuh telus dan berhemah. Adat Timur perlu dijagalah katakan. Tapi orang kata politik itu kotor. Saya kata hmmm dengan macam2 yang terjadi fitnah dan sebagainya ini memanglah nampaknya kotor. Kan Nabi Muhammad sudah berpesan yang kita ini di akhir zaman. Dan memang akhir zaman ini fitnah menjadi mainan hidup. Moga kita semua dijauhkan dari fitnah-fitnah ini.

Nota - Politik tak kotor. Yang kotor itu pemainnya.

Zaihan Mahamud
Kajang
7.15 pm
22 Ogos 2008

Tuesday, August 5, 2008

SIARAN MEDIA

5 Ogos 2008 / 3 Sya’ban 1429H

Menyokong Pandangan Ketua Pengarah JAKIM Terhadap Forum Berkenaan Perkara 121 (1A) Anjuran Majlis Peguam Malaysia

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, mengenai forum terbuka mengenai Perkara 121 (1A) anjuran Majlis Peguam Malaysia, ABIM turut merasakan penganjuran forum tersebut adalah kurang bersesuaian dan boleh menimbulkan salah tanggapan di kalangan masyarakat. Walaupun ABIM mendokong prinsip kebebasan bersuara dan demokrasi tetapi dalam realiti negara kita, persoalan yang boleh membangkitkan sentimen agama dan kaum harus ditangani dengan lebih berhati-hati dan berhikmah.

ABIM konsisten dengan pandangan bahawa persoalan sebegitu terutama yang melibatkan bidang pengkhususan lebih sesuai dibincangkan secara tertutup dikalangan mereka yang mempunyai latarbelakang dalam bidang berkaitan. Majlis Peguam Malaysia baru sahaja menganjurkan forum terbuka berkaitan dengan isu “kontrak sosial” dan disusuli pula dengan isu berkaitan dengan agama. Pendekatan sebegini boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap Majlis Peguam Malaysia sebagai badan utama mewakili seluruh komuniti peguam tanpa mengira kaum dan agama, yang sepatutnya tidak wajar dilihat terlalu memihak dalam isu-isu seumpama ini.


KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
SETIAUSAHA AGUNG ABIM

Friday, July 25, 2008

Hujankah, Ributkah atau Taufan?

Assalaamualaikum,

Politik

Kalut makin kalut. Setelah hampir sebulan kes Liwatgate II ini berlangsung tanda-tanda ia akan surut semakin jauh. Terbaru, blogger RPK pula menyatakan ada seorang kawan pihak yang menuduh mengaku telah bersama yang menuduh ke rumah seorang pemimpin tertinggi negara khusus membincangkan perkara2 yang perlu untuk dilakukan dan direka dalam kes liwat ini. Entahlah.. kalau benar begini agaknya, konspirasi ini memanglah untuk menghalang seseorang menjadi pemimpin tertinggi negara.

Kita memerhati juga muzakarah yang sedang rancak diadakan oleh sebuah parti pemerintah dengan salah satu parti utama pembangkang. Kita memang mengalu-alukan sebarang bentuk muzakarah atau perbincangan yang boleh menambahbaik kesejahteraan hidup umat Islam dan melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya. Cuma janganlah hendaknya bermuzakarah bersetuju di sebelah sini tapi bergaduh dan berbalah jadinya di sebelah sana. Agaknya bila nak habis Tsunami politik ini dan ombak-ombak susulannya.

Ekonomi

Ini pun kalut juga. Setelah Debat Bersejarah tempoh hari, memang benar telahan rakyat kebanyakan yang Menteri Penerangan tak akan letak jawatan. Tapi yang makin membimbangkan EPU telah menurunkan kadar peningkatan ekonomi negara kepada 4.6% dari yang dijangka sebelum ini iaitu 5.5%. Malah besar kemungkinan kadar inflasi negara akan meningkat ke tahap 7% dalam dua tiga bulan akan datang. Nampaknya kenalah kita tingkatkan tahap usaha kita untuk memastikan ekonomi umat sentiasa terbela dan meningkat.

Muktamar

Macam2 cakap dan pelbagai perkara yang berlaku ini, kenalah juga kita ke Muktamar Kebangsaan ABIM PUSAT yang tahun ini akan berlangsung di Pusat dakwah Paroi, Negeri Sembilan pada 15 - 17 Ogos 2008 ini. Tajuk Memperkasa Umat yang dipilih kali ini sangat cocok dengan segala perkembangan mutakhir yang sedang berlaku di sekitar kita. Muktamar yang membuka ruang muhasabah, diskusi dan mengolah semula perjalanan dakwah kita di muka bumi ini. Hadirlah beramai-ramai. Insya-Allah moga diterima amalan dakwah kita ini di akhirat kelak.

Zaihan Mahamud
Kajang 7.00 am
26 Julai 2008

Thursday, July 3, 2008

KE MANA ARAH NEGARA KITA?

Saya terkejut, terkilan dan bermacam ter.......lagi dua tiga hari ini. Selain akibat produk jualan saya yang tak tiba-tiba dari luar negara, menyebabkan poket ter......asa kosong, ter......saya ini banyak didominasi oleh perkhabaran politik tanah air. Walaupun ya....ABIM ialah non-partisan, namun apabila kes aib-mengaib, tuduh-menuduh, sumpah-bersumpah sudah menjadi mainan ahli politik kita ini, fikirkan ke manakah arah negara kita?
Walaupun memang ramai yang beranggapan tuduhan kedua liwat kepada Dato' Seri Anwar adalah satu lagi cubaan untuk menghalang percubaannya menjadi PM, malah Merdeka Center sebuah pusat pungutan pendapat juga menyatakan hanya 6% rakyat yang percaya atas tuduhan ini, kita tidak mahu perkara ini menjadi satu bahan mainan ahli politik kita saban masa.
Kalau kita lihat satu-persatu ia bermula dengan Akuan Bersumpah Raja Petra (RPK) yang menyatakan isteri pemimpin negara terlibat dalam pembunuhan Altantuya, kemudiannya tuduhan liwat terhadap Anwar yang dibuat bekas pembantunya, disusuli dengan drama Anwar di Kedutaan Turki cukup menggugah hati dan suasana.
Tapi kejutan rupanya belum berakhir....sebentar tadi muncul pula PI P Balasundram yang menjadi pengawal peribadi A Razak Baginda dengan akuan bersumpahnya yang cukup menggemparkan. Kaitan antara Altantuya dan juga pembesar negara. Hmmmm.....benarkah atau tidak semua episod ini. Episod ini dan selepasnya akan terus berlaku dan terus berlaku semenjak keputusan PRU 12 tempoh hari. Apa lagi yang akan berlaku......mungkin makin mengejutkan. Mengggemparkan malah mungkin juga semakin memualkan. Nauzubillah....
Panjatkan doa kepada ALLAH agar Malaysia terus terpelihara di bawah RahmahNYA.

Tuesday, July 1, 2008

EPISOD TERBARU ANWAR - KENYATAAN ABIM

Abim seru umat Islam adakan solat hajat


Dipetik dari Malaysiakini
Selasa, 01 Julai 2008

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) berkongsi rasa terkejut, sedih dan bimbang dengan rakyat Malaysia berikutan timbulnya isu terbaru yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presidennya, Yusri Mohamad.
"Negara kita telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks, melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini."Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin mengheret negara ke kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, Abim berharap semua pihak yang terlibat menangani isu ini, benar-benar mengambil pengajaran dari episod gelap krisis yang lalu, untuk bersiap menanganinya dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah."Isu terbaru ini merupakan ujian dari Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini.
"Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan istirja', istighfar, solat dan bermunajat kepadanya."Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaran-Nya dalam menangani persoalan yang timbul," kata Yusri.Jangan jadi 'hakim'Sesuai dengan semangat tersebut, katanya, Abim menganjurkan seluruh Umat Islam di Malaysia segera menumpukan permohonan kehadrat Allah "agar kita semua dikurniakan rahmat, panduan dan kekuatan untuk melalui ujian terbaru ini dengan selamat dan sejahtera".
Abim juga, kataya, mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini."Seterusnya Abim berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan dalam Islam."Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil," katanya.
Menurut Yusri lagi, pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat, dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam.Pihak terbabit juga, tambahnya, perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Anwar sepertimana yang layak diterima olehnya."Pihak media juga diingatkan agar mengelak daripada menjadi 'hakim' yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan.
"Oleh kerana kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar, justeru pihak media juga haruslah mengelak membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan," tambahnya.